Setiap jentera yang menjadi permainan masyarakat memiliki pelbagai konsep, bertapak di atas konsep yang diinginkan oleh setiap pemain dalam dunia modifikasi khususnya bagi peminat kereta mahupun jentera dua roda. Setiap modifikasi yang dihasilkan merupakan ilham diri sendiri atau pun diambil dari mereka-mereka yang terdahulu mengharungi dunia modifikasi ini.
Bagi peminat yang tegar pada satu-satu konsep, mereka akan memastikan konsep yang diketengahkan pada jentera mereka benar-benar mantap dan menarik agar menjadi tarikan pada umum. Malah, ia memberikan satu kepuasan kepada pemilik itu sendiri. Jika diukur dengan wang ringgit, pastinya berbaloi menerusi hasil yang mengagumkan apabila ia tampil sempurna pada pandangan mata.
Jentera kompak memang tidak asing lagi dalam arena modifikasi di Malaysia dan ini dapat dilihat menerusi pelbagai model kompak yang menjadi pilihan untuk ditransformasi oleh pemiliknya. Kebanyakannya tampil lebih menyerlah serta menjadi perhatian sesiapa sahaja yang memandang.
Lazimnya kita melihat Myvi ditukar menjadi Passo Boon, Kenari kepada Move, Kancil berubah wajah menjadi Mira yang diambil dari model Toyota dan Daihatsu. Kali ini, kami menampilkan sebuah Perodua Kembara yang mendapat persalinan lengkap Daihatsu Terios.
Bagi memastikan perjalanan lebih selesa, pemilik memilih enjin dari jenis K3-VET berkapasiti 1300lt yang dikuasakan sistem turbo dan 4WD. Pemilihan kotak gear automatik menambah keselesaan pemilik yang memantau sistem enjin dengan lebih mudah. Contohnya seperti pemakaian meter Defi Cluster Complete dengan Shift Lamp, Defi oLink Meter, Ultra Shift Indicator dan Apexi Turbo Timer.
Kedudukan jentera nampak lebih stabil keseluruhannya dengan penggunaan suspensi GT Series dari FTuned Racing Suspension. Selain itu, seluruh casis jentera nampak lebih kukuh dan tegap dengan pemakaian part dari Daihatsu Terios. Sistem pemberhentian jentera ini juga diperkukuhkan lagi dengan penggunaan hos brek serta piring rotor hadapan dari Endless Brake Set (6 pot).
Kekemasan ruang dalaman juga dititikberatkan pemilik dengan keseluruhannya mendapat sentuhan penuh dari Daihatsu Terios. Beberapa bahagian seperti pintu dashboard ditambah dengan balutan carbon, menyerlahkan lagi kekemasan ruang dalaman dengan pelbagai eksesori tambahan. Antaranya sistem audio di bahagian dalaman jentera yang dipadankan dengan Carrozzeria sebagai pilihan pemilik.
Tidak lengkap bahagian atas bumbung tanpa sunroof dan pemilik memilih dari model Daihatsu Terios sebagai pilihan utama. Manakala di bahagian luar pula, masih lagi menggunakan persalinan Daihatsu Terios yang ditambah beberapa aksesori di bahagian tertentu termasuk papan nombor pendaftaran kenderaan dan Tiffana House Snowboard Mirror sebagai pelengkap aksesori kerana item ini sukar dicari di pasaran sekarang!
Dipadankan dengan pilihan warna yang menarik, beberapa bahagian tambahan lain dipadankan pula dengan kombinsi warna perak, menjadikan ia lebih menyerlah dan nampak lebih elegan. Pemilihan rim dari jenis Volk Racing TE37 bronze bersaiz 17’ ini dipadankan bersama tayar Yokohama serta skru pengikat dan penutup injap angin rim Rays.
Pasti pembaca tertanya-tanya, siapakah pihak yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan jentera ini? Bagi makluman anda, modifikasi ini dibina sepenuhnya dari sebuah Perodua Kembara oleh Two Pro Garage Kuantan. Pasukan ini bertanggungjawab sepenuhnya, dari mula sehingga siap sepenuhnya dan mengambil masa hampir tiga tahun dan menelan kos sebanyak RM 75k secara kasarnya.
Selain penjagaan untuk memastikan jentera ini sentiasa berkilat, pemilik memilih KZ Garage Kuantan yang terletak di IM3. Pemilik meletakkan sepenuh kepercayaan dan yakin dengan hasil kerja team KZ Garage dalam kerja-kerja detailing. Modifikasi tidak berhenti setelah selesai pembinaan sesebuah kereta tetapi berterusan khususnya dalam penjagaan bagi memastikan kereta sentiasa tampil menarik!
Spesifikasi Daihatsu Terios Turbo 4WD
Spesifikasi Enjin
➢ K3-VET (1300cc Turbo 4WD) – Restored
➢ Auto Transmission
Eksterior
➢ Bodypart Terios J102G Aerodown
➢ Door Lining Terios – Item katalog
➢ Frame Plate Condom – Item katalog
➢ Parking Mark / Pole Terios – Item katalog
➢ Door Garnish Chrome Terios – Item katalog
➢ Tailgate Visor Terios – Item katalog
➢ Bonnet Scoop Chrome Terios
➢ Head Lamp Cover Terios (Cermin Mata)
➢ Sunroof Terios
➢ Toshiba Twin Blade Antenna
Penambah Baik Enjin
➢ HKS SSQV Blow-Off
➢ Bumper Step Terios – Item katalog
➢ Door Lining Terios – Item katalog
➢ Frame Plate Condom – Item katalog
➢ Parking Mark / Pole Terios – Item katalog
➢ Door Garnish Chrome Terios – Item katalog
Rim & Tayar
➢ TE37 17inci lengkap dengan Cap Type B
➢ Yokohama Advan Fleva
Suspension System
➢ F-Tuned Adjustable – front & rear
Interior
➢ Terios J102G
➢ Fullset Door & Trimming (Carbon Fiber)
➢ Defi Cluster (Amber Red) Complete with Shift Lamp
➢ Defi Oled Link Meter Display
➢ Ultra Shift Indicator (Merah)
➢ Half Cover Lace Daihatsu – Item katalog
➢ Door Step Terios – Item katalog
➢ Daihatsu Break Glass & Seatbelt Cutter
➢ Alarm System (Ketupat)
➢ Apexi Turbo Timer
➢ Auto Light ➢ Auto Start
➢ Tiffana House Snowboard Mirror (Ibu + Anak)
Sistem Audio (Carrozzeria)
➢ Head Unit Pioneer
➢ Speaker System Black Series
➢ Tweeter TS-C1010A lengkap dengan crossover
➢ Speaker Alien CS-MY1 4 Nos.
➢ Speaker Bawal Hitam TS-STX900
➢ Speaker Pisang TS-STH1100
➢ Centre Speaker (Speaker Nipis) TS-CH700A
➢ Underseat Woofer
➢ Dashcam ND-DVR10
Sistem Brek
➢ Endless Brake Set (6 pot) Japan – depan
➢ Endless Brake Steel Braided – depan
Sistem Ekzos
➢ Kakimotor GTbox 06&s Japan
Teks & Gambar :
Raziman Sipico