Mungkin kita bukan lagi di era kegemilangan dunia modifikasi audio kereta seperti tahun-tahun yang sudah tetapi penganjuran Auto Fiesta 2023 yang berlangsung pada hujung minggu lalu membuktikan sesuatu yang penting. Ia masih belum berakhir dan ramai lagi yang terus menghidupkan kehebatan dunia modifikasi audio di Malaysia.
Bertempat di Dataran Merdeka, Auto Fiesta 2023 ini diadakan selama dua hari berturut-turut iaitu pada 2 dan 3 Disember yang lalu. Bersesuaian dengan misinya untuk menghimpunkan para penggiat, pemain dan peminat dalam sebuah program, ternyata masih ramai yang meminati dan tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan dunia modifikasi audio.
Dikuasakan oleh Vanzo, Auto Fiesta 2023 ini dianjurkan oleh Automotive Accessories Traders Association of Malaysia (AAA) dengan kerjasama frenss dan EMMA yang turut menganjurkan EMMA Asia Finals 2023, kolaborasi ini berjaya membawa keluar bakat-bakat terpendam khususnya installer menerusi sentuhan magis mereka terhadap modifikasi audio yang dipasang pada kereta-kereta para peserta yang dipertandingkan.
Bukan itu sahaja, Auto Fiesta 2023 ini juga menyediakan ruang kepada para penggiat dan pemain industri audio dan juga alat-alat ganti automotif di Malaysia. Antara yang terlibat secara langsung sepanjang Auto Fiesta 2023 ini adalah seperti yang Soundstream, Mohawk, Alpine, AK Audio Supply, Mohawk MS Series, GPSiNA Asia, 70mai Malaysia, Autolab, LB Auto Group. Dodo Mat, Goinsuran, Komi Custom Fit Leather, TYPE One Stable Bar, Emerald Auto Parts, Ruistix Malaysia, Sianghin Group dan Grand Ion Delemen Hotel.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak penganjur kerana berusaha menghimpunkan para penggiat, pemain dan juga peminat dalam sebuah program yang sangat bermakna. Semoga program ini akan terus diadakan di masa hadapan untuk merancakkan kembali dunia modifikasi audio kereta dan juga menghangatkan lagi industri alat-alat ganti automotif di Malaysia!