Bagi menghargai kesetiaan pemiliknya, sebanyak 16 buah kelab & komuniti Proton Perdana telah bersatu hati menganjurkan Proton Perdana Day 2017. Berlangsung di KL Carnival Bukit Jalil, ini merupakan kali ketiga ia diadakan, selepas penganjurannya di Putrajaya beberapa tahun lalu.
Barisan kelab dan komuniti ini terdiri daripada; Prime Perdana Club (PPC), Perdana V6 Club Malaysia (V-SIXERS), Kelab Pemilik Proton Perdana Malaysia (PROPERD), Perdana Malaysia Club (PERMAC), Proton Perdana Club (PRIMERZ), Shah Alam Region (SAR), Perdana Kelate Community (PKC), Perdana Group 1 Malaysia (PG1M), Proton Perdana Motorsport Community (PPMC), Kelab Pemilik Kereta Perdana Malaysia (MyPC), Malaysian Perdana Members Club (MPMC), Perdana Family Motorsport Club (PFMC), Perdana Executive Community Malaysia (PECM), Royal Perdana Muar (RPM), Proton Perdana Waghih N9 Community, Galant 7th Generation Malaysia, termasuk juga pemilik persendirian. Hasilnya, lebih 500 buah Proton Perdana dengan 800 orang peserta, hadir memeriahkan acara ini.
Pergerakan peserta dibuat mengikut kumpulan masing-masing dan tiba di tapak lokasi pada jam 2.00 petang. Bagi yang ingin menyertai pertandingan autoshow, mereka ditempatkan di kawasan berasingan, sekaligus memudahkan para peserta meninjau kereta-kereta yang mengambil bahagian. Selain bertemu rakan dan menambah kenalan, diadakan juga aktiviti jualan, sebelum sesi fotografi mengambil tempat pada jam 6.00 petang.
Acara diteruskan dengan aktiviti pentas di sebelah malam. Antaranya, sesi pengenalan oleh wakil-wakil kelab, persembahan artis, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Acara ini tamat, sekitar jam 11.00 malam.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada para peserta, barisan penaja, serta semua yang telah hadir menjayakan acara ini. Semoga kerjasama baik yang ditunjukkan, dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.