Mungkin ramai dah tahu yang penghasilan model Civic EP3 Type R versi JDM ini sebenarnya agak unik. Casisnya dibina oleh Honda UK di Swindon dan diasaskan dari model Civic generasi ketujuh pasaran Eropah. Tapi enjin dibawa terus dari Honda Jepun, dengan spesifikasi yang lebih tinggi. Lepas selamat disatukan, ia kemudian dieksport semula ke Jepun sebagai unit CBU sepenuhnya. Buat susah-susah jer, bikin kat kilang Alor Gajah kan senang.
Model ini tidak dibawa masuk pada skala yang besar, sekaligus mengurangkan jumlahnya di pasaran terpakai. Belum sempat diterima ramai, peminat Type R dikejutkan pula dengan kehadiran model FD2R yang tentunya lebih praktikal. Secara tidak langsung, ia telah melonjak namanya sebagai antara Type R paling rare, khususnya dalam keluarga Civic.
Walaupun kecik macam Jazz tak cukup pintu, Civic EP3 Type R masih memiliki karektor tersendiri. Percaya dengan status yang ada, ia menjadi pilihan khususnya di kalangan peminat seperti Taufik. Benda jarang jumpa. Sekali sekala kena jeling pun seronok jugak, lagi-lagi di kalangan mereka yang meminati jentera berprestasi dari Honda.
Untuk luaran, kereta ini dipasangkan dengan beberapa komponen dari tuner berbeza. Bumper depan Buddyclub Aero punya, lip splitter bubuh yang ARC, hood karbon fiber tu pulak Ings mari. Kemudian ada cermin sisi kecik Craft Square, selain fender dan spoiler GT keluaran J’s Racing. Ikut kaulah Taufik, janji tak sakit mata. Lagi pun bukan senang nak dapat pakej yang kena ngan selera sendiri.
Model spesifikasi JDM dibekalkan dengan enjin K20A i-VTEC yang mampu melunaskan kuasa sekitar 215 kekuda. Boleh tahan jugaklah. Memandangkan jumlah tersebut dirasakan sudah memadai, ia belum lagi diusik pada kadar sepatutnya. Malas sakit kepala, layan standard pun laju apa. Buat masa ini, Taufik hanya menggantikan kit induksi asal dengan penapis udara K&N Typhoon, termasuk pemetaan semula unit ECU dengan Honda Flashpro.
Bagi sebuah enjin NA seperti ini, perubahan di bahagian ekzos merupakan salah satu resepi penting untuk peningkatan kuasa. Hampir keseluruhannya ditukar, bermula dengan ekstraktor Skunk2 Alpha, sebelum diakhiri dengan set ekzos Skunk2 Megapower. Untuk hantaran kuasa lebih baik, kotak gear manual LSD 6-kelajuan yang dibekalkan kini dilengkapi set klac Ogura Super Single.
Civic EP3 Type R tidak dibekalkan dengan brek gigit dari Brembo. Sebagai penyelesaian, ia kini dilengkapi kit brek 6-pot Willwood dengan rotor sebesar 330mm di bahagian depan. Ya, 6-piston tuan-tuan. Kalau silap main brek, boleh benjol kepala lutut dibuatnya. Bagi mendapatkan karektor pengendalian yang lebih baik, sistem gantungan telah dinaik taraf menerusi pemasangan set suspensi Tein Type Flex. Sebagai pelengkap sektor luaran, bahagian roda diisi rim Wedsport TC105N berukuran 17-inci dengan tayar Yokohama AD08R dari saiz 225/45ZR-17.
Ruang dalaman masih kekal dengan identiti merah Type R yang sebenar. Ia kemudian ditambah beberapa aksesori penting seperti stereng Personal J’s Racing, boss kit Spoon, tombol gear titanium J’s Racing, serta deretan meter Defi di tengah dashboard. Untuk pelukan lebih nyaman, tempat duduk pemandu digantikan dengan bucket Seeker GT2 yang agak rare. Tengah slim gini boleh la pakai, tengoklah sikit hari lagi…
Civic EP3 Type R ini dipandang kerana statusnya. Ia bukan sebuah Civic kebanyakan dan tidak juga dibina untuk semua. Kalau takde yang minat nak jual, menunggu sampai biru pun belum tentu dapat rasa…