SOCAR Mobility Malaysia (SOCAR) telah memeterai perjanjian pelaburan berjumlah sehingga AS$55 juta menerusi aktiviti pendanaan Siri B syarikat itu baru-baru ini. SOCAR, yang sekarang dianggarkan bernilai AS$213 juta, bakal menerima suntikan ekuiti serta modal daripada EastBridge Partners, sebuah syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, serta pelaburan dari syarikat multinasional Malaysia, Sime Darby Berhad di dalam aktiviti pendanaan ini. Pelaburan ini, yang pertama bagi kedua-dua entiti tersebut ke dalam SOCAR Malaysia, menjadikan jumlah pendanaan yang diterima oleh SOCAR setakat ini sebanyak AS$73 juta dan akan digunakan bagi membantu usaha mengembangkan lagi operasi mobiliti multiflex syarikat itu di Asia Tenggara.
“Kami amat mengalu-alukan penyertaan rakan kongsi baru kami iaitu EastBridge Partners dan Sime Darby Berhad dalam usaha mengembangkan lagi operasi SOCAR bagi membawakan mobiliti multiflex ke lebih banyak lagi negara di Asia Tenggara. Bagi kami di SOCAR, hakikat bahawa kami berjaya menarik rakan ekuiti yang sedia bekerjasama dalam mengembangkan lagi perniagaan semasa pandemik global ini membuktikan keyakinan rakan kongsi kami terhadap kepimpinan SOCAR di dalam sektor perkongsian kereta dan keupayaan kami untuk mengembangkan lagi perniagaan pengguna-kepada-pengguna TREVO ke seluruh rantau ini. Kami berasa gembira kerana dapat mengeratkan lagi hubungan dengan Sime Darby Berhad, susulan kerjasama sedia ada dengan bahagian Motornya, menerusi peluasan kerjasama strategik kami kepada kerjasama berasaskan kepentingan ekuiti,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SOCAR Mobility Malaysia, Leon Foong.
“SOCAR dengan sukacitanya mengalu-alukan kerjasama baru ini ke dalam jadual permodalan kami. Kami akan menggunakan dana ini bagi memacu usaha mencapai wawasan mobiliti multiflex kami dan membawakan kemudahan perkongsian kereta kepada lebih ramai lagi pengguna di seluruh Asia Tenggara. Memandangkan semakin banyak negara mula memasuki fasa baru pemulihan pasca Covid-19, kami komited untuk menggunakan platform TREVO bagi mencipta lebih banyak peluang ekonomi untuk para pemilik kereta, dan pada masa sama memanfaatkan bekalan kenderaan di dalam platform kami bagi mengingatkan para pengguna mengenai pengalaman bebas mengembara semula sambil menikmati keselesaan ruang peribadi mereka sendiri, di dalam kenderaan pilihan mereka,” tambah beliau lagi.
Pelaburan AS$55 juta itu akan disalurkan ke arah meneruskan penambahbaikan teknologi dan dilaburkan ke dalam usaha meningkatkan lagi keyakinan dan langkah-langkah keselamatan yang dapat membantu meningkatkan keuntungan perniagaan secara keseluruhannya. SOCAR juga bercadang untuk menggunakan kepakarannya dalam bidang pengurusan flit bagi memperkenalkan mobiliti hijau kepada umum dan memanfaatkan kepakarannya dalam pasaran pengguna-kepada-pengguna bagi memperkasakan lagi komuniti flit dan kereta persendirian di seluruh Asia Tenggara melalui platform TREVO miliknya. Pelaburan ini akan distrukturkan kepada dua bahagian, iaitu dengan 60% pendahuluan dan tambahan 40% akan diberikan kemudian berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui.
Pelaburan EastBridge Partners ke dalam SOCAR Mobility Malaysia selaras dengan teras strategi pelaburan Korea+ yang memanfaatkan rangkaian EastBridge Korea dan Pan-Asia, di mana pelaburan adalah tertumpu kepada syarikat yang mempunyai asas yang kukuh, potensi pertumbuhan dan prospek perkembangan global yang tinggi.
Akibat daripada pendemik, tabiat perjalanan dan berulang-alik telah berubah, di mana para pengguna mahukan lebih banyak kebebasan untuk memilih serta pilihan yang lebih luas di dalam mobiliti. Sehubungan itu, SOCAR telah meningkatkan penawarannya yang menggunakan teknologi bagi menghapuskan halangan, termasuk halangan dalam mengakses kenderaan peribadi yang selamat dan selesa, selain daripada mencipta peluang pendapatan baru.
“Model perniagaan SOCAR pada asasnya dibina bagi memadankan pemandu dengan kenderaan pilihan mereka, jadi peningkatan kecekapan platform yang dipacu oleh ketepatan pemadanan pemandu dan kereta akan seterusnya menjana pendapatan tambahan dan juga penjimatan, yang kemudiannya boleh dilaburkan semula bagi menjadikan komuniti perkongsian kereta lebih selamat dan diyakini. Sebaik sahaja kami mencapai sasaran tahap kecairan platform ini, kami kemudiannya boleh bekerjasama dengan rakan kongsi kami bagi menawarkan perkhidmatan sampingan lain yang diperlukan oleh para pemilik kereta dan pemandu seperti perlindungan insurans. Apabila akses kepada kereta menjadi semudah menekan butang di telefon mudah alih anda, kedudukan SOCAR di dalam ekosistem pengangkutan boleh mengubah cara orang ramai berfikir mengenai bajet mobiliti mereka,” jelas Foong.
SOCAR pertama kali dilancarkan di Malaysia pada Januari 2018 sebagai sebuah usaha sama di antara SK Inc. dan Socar Inc. Pada Februari 2020, SOCAR telah menyempurnakan aktiviti pendanaan Siri A berjumlah AS$18 juta dengan pelaburan daripada Eugene Private Equity Co. Ltd. dan KH Energy Co. Ltd. TREVO yang merupakan anak syarikat milik penuh SOCAR telah dilancarkan pada penghujung Februari 2020, sebagai sebuah pasaran perkongsian kereta pengguna-kepada-pengguna berasaskan aplikasi.
SOCAR menerajui era baru mobiliti multiflex dengan penawaran lebih 2,200 kereta yang terdiri daripada 36 model berbeza di lebih 1,000 lokasi di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Ipoh dan Melaka menerusi aplikasi SOCAR. TREVO ketika ini mempunyai hampir 6,400 kereta yang disenaraikan di bandar-bandar utama di dalam pasaran perkongsian kereta pengguna-kepada-pengguna berasaskan aplikasi ini di Malaysia dan Indonesia.
Baru-baru ini, TREVO telah bekerjasama dengan Sime Darby Auto Selection (SDAS), penjual kereta terpakai pelbagai jenama di bawah Sime Darby Motors, untuk menjayakan program ‘Fund Your Drive’, yang memperkenalkan konsep pertama seumpamanya yang membolehkan pembeli mengekalkan nilai yang lebih baik bagi kereta yang dibeli daripada SDAS dengan jaminan harga jualan semula kepada SDAS dalam tempoh 12 bulan menerusi pilihan belian semula atau BuyBack, dan pada masa sama memberi jaminan penjanaan pendapatan menerusi TREVO untuk membiayai kos pemilikan kereta.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai SOCAR, sila kunjungi https://socar.my/