Bukan satu lagi berita yang baharu, percubaan Apple untuk menghasilkan kereta sudah lama diperkatakan. Ramai yang menantikan dan menjangkakan pengumuman rasmi tetapi masih tiada apa-apa yang sahih. Terkini, ada laporan mengatakan kereta keluaran Apple ini sudah sangat hampir dan akan dilancarkan tidak lama lagi. Bila tu?
Menurut laporan Bloomberg dan Reuters, Apple sedang mengusahakan sesuatu di bawah kod nama Project Titan sejak tahun 2014 lagi. Sudah beberapa tahun berlalu dan desakan dari pihak media, Apple dikatakan secara progresif berusaha membangunkan projek ini tetapi tidak mahu memberi komen apa-apa.
Menariknya, laporan paling terkini yang pernah dilaporkan oleh Reuters mengatakan bahawa Apple bercadang untuk mengeluarkan kereta penumpang autonomous sekitar tahun 2024. Seperti biasa, Apple menafikan apabila pasukan Reuters cuba mengetahui lebih lanjut dan dikatakan, tarikh yang dijangka untuk mendedahkan projek ini mungkin berlaku pada tahun 2025.
Sementara itu, harga stok Apple kian meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadikan kedudukan ekonomi syarikat pada tahap yang memuaskan semenjak tercetusnya krisis kesihatan yang melanda dunia. Namun begitu, teknologi kenderaan autonomous bukan sesuatu yang mudah. Mungkin disebabkan itu, Apple merasakan lebih baik mendiamkan terlebih dahulu projek ini.
Sumber : Autoevolution