Salah satu pameran auto paling berpengaruh dan popular dalam kalangan para pencinta automotif, kini diumumkan bakal diadakan di Malaysia. Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 9 hingga 11 Jun.
Berita baik ini diumumkan dalam sebuah majlis tandatangan antara San Ei Corporation dan penganjur acara bersama MUSE Group di Tokyo sebelum berlangsungnya edisi pameran 2023. Penganjuran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur dijangka menerima sambutan yang memberansangkan memandangkan ramai peminat pameran ini di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group, Riduwan Matni berkata pihaknya berbangga kerana telah mendapat lesen eksklusif bagi menganjurkan Tokyo Auto Salon. Selain itu, MUSE Group juga telah disenarai-pendek oleh San Ei Corporation selaku pemilik harta intelek untuk menjadi rakan mereka di luar Jepun.
Bagi makluman, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur merupakan satu-satunya lesen francais secara langsung di bawah jenama itu. Beliau berkata lagi bahawa acara Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 ini dijangka dapat merancakkan kembali industri lepas jualan yang terkesan teruk akibat pandemik.
Penganjuran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 itu nanti bakal menyaksikan pameran barisan kereta unik juga kehadiran model-model cantik Race Queen Jepun yang sudah sinonim dengan acara pameran ini. Bakal diadakan pada Jun ini, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2023 menyasarkan kehadiran para pengunjung seramai 150,000 orang sepanjang tiga hari ia diadakan. Tiket dijual pada harga RM40 sehari dan boleh dibeli secara atas talian. Kepada sesiapa yang membeli tiket sebelum tarikh acara diadakan bakal menikmati 10% diskaun.