Kedatangan perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada hujung minggu ini pastinya disambut dengan pelbagai aktiviti selain kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan tidak kurang juga, pulang ke kampung halaman. Tidak dinafikan, musim perayaan sering kali mencatatkan peningkatan kes kemalangan. Pelbagai inisiatif telah diambil bagi mengurangkan kemalangan termasuk kempen yang baru sahaja dilancarkan.
Ops Bersepadu & Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan 2023 telah dilancarkan secara rasminya dalam sebuah majlis oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi. Kempen dengan slogan Pandu Cermat, Sampai Selamat ini merupakan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerja Raya.
Ops Bersepadu ini akan berlangsung bermula dari 18 hingga 28 Januari yang melibatkan beberapa agensi lain di bawah dua kementerian itu, seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.
Bagi tujuan memperkasakan lagi pelaksanaan kempen ini, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan selama dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan, iaitu pada 20-21 Januari 2023 dan 24-25 Januari 2023.