Foto: Shah Bahulu @ Adam Photography
Sempena Sambutan Ambang Merdeka & Kempen Keselamatan Jalan Raya 2019, Tow Truck & Car Carrier Pantai Timur (TTCCPT) dengan kerjasama 1 Malaysia Tow Truck & Car Carrier Association (1MTTCC) dan Malaysian Automotive Workshop Marketing Agency Association (MAWMAA), telah menganjurkan program khas bagi menghimpunkan para pemilik dan pengusaha trak tunda dan karier di kawasan Pantai Timur. Berlangsung di tapak parkir Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada 30 Ogos yang lalu, ia turut menerima sokongan badan-badan kerajaan dan NGO yang lain seperti JKJR, MPK, PDRM, BOMBA, ST JOHN, LIONS GROUP dan JPAM.
Acara bermula seawal jam 5.00 petang, menyaksikan kehadiran hampir 400 orang peserta dengan 100 buah trak tunda dan karier pelbagai model. Kesempatan bertemu digunakan sepenuhnya boleh mereka, untuk bertanya khabar dan menambah kenalan. Selesai sesi pendaftaran, diadakan pula mesyuarat ringkas untuk pelantikan ahli 1MTTCC Cawangan Pahang.
Barisan tetamu jemputan tiba pada jam 9.00 malam. Ini disusuli dengan sesi makan malam, ucapan wakil JKJR untuk kempen keselamatan jalan raya, serta ucapan aluan oleh tetamu yang lain. Acara berakhir dengan gimik pelancaran, dan sambutan ambang merdeka tepat jam 12.00 tengah malam.