Selepas kerajaan mengumumkan negara memasuki fasa endemik pada Mei lalu dengan memberikan kelonggaran pelbagai sektor ekonomi dan aktiviti harian termasuk aktiviti sukan permotoran, pelbagai acara mula diadakan. Antaranya termasuk Gymkhana, Track Day dan banyak lagi. Hujung minggu kembali meriah dengan pelbagai aktiviti dan antara yang mendapat perhatian pastinya sukan permotoran pecut atau lebih dikenali sebagai Drag Race.
Bertempat di Terengganu International Drag Strip telah berlangsungnya perlumbaan drag yang diadakan selama dua hari iaitu pada 21 dan 25 Mei yang lalu. Dianjurkan buat kali pertama dengan kerjasama Gabungan Ipoh Motosport (GIM), acara ini berjalan dengan lancar sepanjang dua hari perlumbaan diadakan.
Sebanyak 12 kategori telah dipertandingkan bagi motosikal dan 7 kategori kereta dengan setiap kategori menawarkan hadiah untuk empat orang pemenang. Antara hadiah yang dimenangi para pemenang termasuk piala kemenangan, wang tunai dan juga sijil penyertaan.
Walaupun jumlah penyertaan agak menurun, ia tetap tidak melemahkan semangat penganjur yang sentiasa komited sepanjang perlumbaan berlangsung dalam memastikan segala-galanya berjalan lancar sehingga tamat. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung sepanjang dua hari perlumbaan. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan dragster, para penaja utama dan rakan media dalam menyokong penganjuran perlumbaan ini.