Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan warna oren baharu untuk varian Triton Adventure X ke pasaran tempatan. Warna baharu ini menjadi penambahan baharu selain warna hitam dan putih sedia ada. Selain warna baharu, satu jalur pada profail sisi trak pikap itu turut ditampilkan agar kelihatan leboh sporty dan rugged.
Triton Adventure X merupakan varian paling tinggi Triton dan ditawarkan pada harga RM137,900 di Semenanjung Malaysia (tidak termasuk insurans). Trak pikap tersebut dilengkapi ciri keselamatan seperti Forward Collision Mitigation (FCM), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist (BSW/LCA), Rear Cross traffic Alert (RCTA), Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (UMS), Auto High Beam (AHB) dan 7 beg udara SRS sebagai ciri standard. Ia hadir dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 200,000km (mana-mana tiba dahulu).
Bagi tahun kewangan 2020, penguasaan pasaran Triton naik daripada 15.2 peratus (April hingga Oktober 2019) kepada 20 peratus untuk tempoh sama tahun ini. Triton juga mengekalkan posisi nombor satu dalam segmen trak pikap di tiga buah negeri iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Kedah. Triton menggunakan enjin turbo diesel MIVEC bersama teknologi pemasaan injap boleh ubah bersesaran 2.4 liter berkuasa 181PS dan tork 430Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan automatik yang lancar, responsif dan menjimatkan bahan api.
Kawalan cengkaman dioptimumkan menerusi sistem Super Select 4WD II, Hill Decent Control dan talaan mode di laluan off-road.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ