Ketika diperkenalkan, pengganti Kancil dan Kelisa ini tidak dilihat sebagai makhluk yang cantik. Mungkin sebab namanya Viva. Kalau letak Pelanduk atau Sepat, dah tentu lain ceritanya. Selang beberapa bulan, kaki kereta yang taksub dengan konsep JDM mula mengorak langkah dan mengubah gaya penampilannya, dengan salinan komponen Mira Avy yang lebih menarik.
Viva milik Faiz ini memulakan hayatnya sebagai model 850cc, yang dikuasakan oleh enjin ED-VE DVVT. Takat cukup makan jelah, nak tawan line kanan macam model 1000cc memang tak mampu. Lepas puas bersabar di belakang lori, Faiz akhirnya mengambil keputusan untuk menambah siput ke atas enjin ini.
Binaan sistem bolt on turbo ini menggunakan turbin IHI RHF4 VF31 yang disangkut pada manifold turbo kustom. Memandangkan bahagian dalaman enjin masih lagi standard, kadar boost perlu ditetapkan pada tahap lebih rendah bagi menjamin kesihatan enjin.
Sejukan boost dibantu unit intercooler Mira Avy RS. Sebaik melepasi unit throttle body, lebihan boost akan dibawa keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV. Untuk bekalan lebih konsisten, sistem bahan api dilengkapi pam petrol Walbro, set injektor Denso 315cc, serta unit regulator Arospeed.
Penampilan luaran tidak lagi seperti Viva sekolah memandu yang kita kenali. Hampir kesemuanya disalin menggunakan komponen milik Mira Avy RS, meliputi keseluruhan bahagian depan, sisi dan belakang. Sebagai tambahan, diselitkan juga pelbagai aksesori yang berkaitan bagi meningkatkan lagi nilai serinya. Ada grill depan, pole parking, visor pintu, termasuk rangkaian aksesori krom di sana-sini.
Tersemat diruang roda adalah rim Volk Racing TE37, yang dibalut pada tayar Falken bersaiz 165/50R-15. Sistem brek depan disalin dari Daihatsu YRV. Manakala komponen gantungan juga diambil dari model yang sama.
Belah dalam menerima salinan komponen Mira Avy RS versi X Limited seperti tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka. Kemudian ada stereng Momo, sarung tempat duduk, plet sisi pintu, serta beberapa aksesori Mira Avy yang lain. Juga kelihatan deretan meter tambahan Defi, paparan Defi ZD, serta sistem audio lengkap jenama Kenwood untuk hiburan seisi taman…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Muhammad Faiz Zakaria
- Pengeluar – Perodua
- Model – Viva
- Tahun – 2012
- Modifikasi Enjin – Bolt on turbo, turbin IHI RHF4 VF31, manifold turbo kustom, intercooler Mira Avy RS, injap pelepas HKS SSQV, pam petrol Walbro, injektor Denso 315cc, regulator Arospeed, penapis udara Apexi
- Transmisi / Gearbox – Kotak gear manual Viva 1000cc
- Elektronik / ECU –
- Ekzos – Kustom
- Suspensi – Daihatsu YRV
- Brek – Daihatsu
- Rim & Tayar – Volk Racing TE37 15-inci & Falken 165/50R-15
- Dalaman – Tempat duduk, panel pintu & papan pemuka Mira Avy RS X Limited, stereng Momo, sarung tempat duduk & plet sisi pintu Mira Avy, meter Defi, Defi ZD, sistem audio Kenwood
- Luaran – Kit badan Mira Avy RS, grill depan, pole parking, visor pintu & aksesori krom Mira Avy
- Bengkel – Tuah Anis Auto Works & Supply, Pokok Pisang Garage