Seperti model kkar lain, kemeriahan dunia modifikasi Viva juga tidak kurang hebatnya. Kemunculan puluhan kelab serta lambakan komponen salinan yang tidak pernah putus, memberi ruang kepada pemilik untuk menghasilkan sesuatu yang menarik.
Misalnya kereta milik Adam ini, yang telah dicantikkan semula dengan kit badan Mira Avy versi Take Off. Memang haru juga nak jumpa. Ia meliputi bahagian bumper depan, skirt sisi serta bumper belakang. Sedikit sentuhan gentian karbon juga dikenakan pada komponen tertentu seperti fender, hood, cermin sisi dan garnish tengah belakang.
Sistem gantungan menempatkan set suspensi boleh laras dari GAB. Kuasa hentian pula dibantu kit brek Daihatsu YRV di bahagian depan. Penggunaan tayar Toyo DRB bersaiz 165/50R-15 pada rim Black Racing Pro N1, turut membentuk pandangan lebih menarik.
Terpampang di ruang bumper merupakan unit intercooler Evo III yang memberi gambaran sebenar tentang keupayaan kereta ini. Walaupun datang dengan enjin 1000cc yang sudah padu, ia bagaimanapun telah dinaik taraf menggunakan enjin K3-VET dari Daihatsu YRV.
Sedikit perubahan turut berlaku pada enjin ini. Antaranya, penempatan set piston 73mm Nissan March, sebelum dihubungkan kepada set conrod dari Carrillo. Janaan kuasa menggunakan turbo IHI RHF4 VF33. Ia digantung pada manifold turbo kustom yang turut memegang wastegate Turbosmart. Bagi meredakan jumlah tekanan, lebihan boost akan dibawa keluar menerusi injap pelepas Take Off.
Suapan bahan api datang dari pam petrol Epman yang menghantar bekalan ke set injektor Subaru 565cc. Kadar tekanan dalam rel, kemudiannya dilaras menggunakan regulator dari Tomei. Untuk talaan lebih sempurna, kotak ECU kini digandingkan bersama unit piggyback KKT.
Ruang dalaman mengenakan komponen Mira Avy 07, yang datang dengan tona dua kaler. Turut membantu beberapa akseosri tambahan yang lain seperti stereng Sparco, tombol gear D-Sport, meter tambahan Defi, paparan Defi ZD, serta tempat duduk Bride Low Max Illest di bahagian pemandu.
SPESIFIKASI
- Pemilik – Adam Haikallee Abdullah
- Pengeluar – Perodua
- Model – Viva
- Tahun – 2008
- Engine Asal – EJ-VE DVVT 1000cc
- Modifikasi Enjin – K3-VET Daihatsu YRV, piston 73mm Nissan March, conrod Carrillo, turbin IHI RHF4 VF33, manifold turbo kustom, wastegate Turbosmart, intercooler Evo III, paip intercooler kustom, injap pelepas Take Off, pam petrol Epman, injektor Subaru 565cc, regulator Tomei, piggyback KKT
- Transmisi / Gearbox – Kustom
- Ekzos – Kustom
- Suspensi – GAB
- Brek – Daihatsu YRV
- Rim & Tayar – Black Racing Pro N1 15-inci & Toyo DRB 165/50R-15
- Dalaman – Komponen Mira Avy 07, stereng Sparco, tombol gear D-Sport, meter Defi, Defi ZD, tempat duduk Bride Low Max Illest
- Luaran – Kit badan Mira Avy Take Off, fender, hood, cermin sisi & garnish tengah belakang gentian karbon
- Bengkel – Lan Baharin Garage