Foto: Ishraqi @ Tune Photography
Penutup siri perlumbaan Malaysia Speed Festival bagi musim 2019 telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 Disember lalu. Kembali dengan format Sprint Race, setiap pelumba perlu menghabiskan 8 pusingan serta memasuki kawasan pit untuk tempoh 3 minit.
Sebanyak 170 buah jentera telah mengambil bahagian dan dibahagikan kepada 3 kumpulan utama. Hujan yang turun seawal perlumbaan, sedikit sebanyak menambah tekanan dan memerlukan mereka untuk lebih berhati-hati dalam persaingan kali ini.
Kumpulan pertama melibatkan perlumbaan Super Production dan Super Street. Tumpuan pastinya terarah kepada kategori Super 1500 NA, bagi penentuan juara keseluruhan. Mohamad Shahril yang bermula pantas, berjaya mengekalkan kedudukan tempat pertama walau dikejar Admi Shahrul dan Mohamed Hafez dari Todak Racing. Keadaan ini membolehkan Mohamed Hafez muncul selaku juara keseluruhan dan meninggalkan Asrul Ali dari Estrada by Pulzar Malaysia di tempat kedua.
Kategori Ultimate Masters agak mengejutkan apabila pencabar baru Mark Darwin dan Bee Soon dari Bee Sportivo muncul selaku juara. Mereka berjaya menidakkan cabaran Azlan Malik dari Wenso Racing Team di tempat kedua. Pun begitu, kedudukan juara keseluruhan masih milik Azlan Malik, selepas pencabar terdekat Faidzil Alang dan Alif Hamdan gagal meneruskan persaingan.
Kumpulan terakhir melibatkan perlumbaan Saga Cup yang dimenangi oleh Tommy Tham dalam kategori Saga Cup Pro. Walaupun menamatkan perlumbaan di tempat keenam, kedudukan Tham Chaw Wei dari Seng Motorsport selaku juara keseluruhan kekal tidak berubah, selepas berjaya mengesahkan kedudukan tersebut lebih awal.
Pusingan pertama Malaysia Speed Festival bagi musim 2020, dijangka akan diadakan pada 14-15 Mac nanti. Sila layari www.msfracing.com untuk maklumat lanjut.