Foto: Ishraqi @ Tune Photography
Pusingan kelima MSF Super Turismo telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 13 Oktober yang lalu. Kembali dengan format Super Sprint, hampir 180 buah jentera telah mengambil bahagian dalam semua kategori yang dipertandingkan.
Segalanya tidak menjadi buat Alif Hamdan dari Millennium Fatboy Penrite apabila gagal beraksi cemerlang pada perlumbaan kali ini. Ia memberi peluang kepada Faidzil Alang dari Fawster 22 Proshop untuk muncul selaku juara. Tempat kedua disandang gandingan baru Bee Soon / Mark Darwin dari Bee Sportivo. Manakala Azalan Malik dari Wenso Racing sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Kategori 1500 NA juga mencuri tumpuan memandangkan jumlah kutipan mata antara Mohamed Hafez dari Todak Racing Fawster Super TR dan Asrul Ali dari Estrada by Pulzar Malaysia yang terlalu hampir. Sebarang kesilapan bakal memberi kesan kepada kedudukan mereka dalam misi untuk muncul selaku juara keseluruhan. Pada pusingan ini, Mohamed Hafez berjaya mengekalkan kedudukan selaku juara, diikuti Asrul Ali di tempat kedua. Sementara Admi Shahrul juga dari Todak Racing Fawster Super TR melengkapkan kedudukan podium bagi kategori ini.
Penentuan juara keseluruhan bagi musim 2019, bakal ditentukan pada pusingan akhir MSF Super Turismo yang dijadualkan berlangsung pada 1 Disember ini. Layari www.msfracing.com untuk maklumat lanjut.