Ini satu lagi model Mitsubishi yang jarang boleh kita temui. Kebanyakan yang berkeliaran merupakan model tempatan, yang banyak menyalin semula komponen miliknya. Standardlah main kereta. Agak-agak tak dapek gading bertuah, tanduk pengkor berguno juo…
Secara asasnya, model Galant generasi ketujuh ini memiliki beberapa nama pilihan. Platformnya masih lagi sama, cuba dibezakan oleh rekabentuk badan mengikut varian dan negara pasaran. Ada Viento, Emeraude, Sport GT, termasuk Eterna yang menjadi asas kepada model Perdana tempatan. Itu belum kira varian khas seperti VR-4, VX-R, Visage, XX-4 dan lain-lain. Kerana itu, lebih mudah jika keluarga besar ini dirujuk sebagai Galant 7G, untuk mengelak kekeliruan.
Walaupun pernah bergelumang dengan model Perdana, Ady tetap menyimpan hasrat untuk memiliki Galant 7G sebenar. Bukan tak perasan pertalian yang wujud. Cuma lebih kepada kepuasan diri, termasuk kemampuannya dinaik taraf pada masa depan. Percarian tersebut akhirnya dipermudahkan selepas menemui kereta ini, yang dijual pada harga agak berpatutan.
Kereta ini ditemui dalam kondisi hampir tersadai kira-kira dua tahun lalu. Banyak juga komponen yang hilang, ditambah keadaan badannya yang lusuh di sana-sini. Mujur tak sempat naik karat. Sebaik dipinang, ia segera dipulih sebelum dipadankan dengan komponen yang lebih sesuai.
Selaku pomen ketok body yang terer, hampir keseluruhan kerja restorasi telah Ady lakukan sendiri. Kacuk hood depan, buat arch belakang, termasuk penggunaan aksesori yang lain. Seperti Perdana lamanya, bahagian luar juga telah dipadankan dengan kit badan Sport GT yang memiliki bar khas di bahagian depan. Begitu juga dengan skirt sisi dan rel pada bumbung, selain padanan unit sunroof, spoiler dan cermin belakang berwiper.
Ketika dibeli, kereta ini dilengkapi enjin V6 transmisi automatik yang diketahui memiliki ragamnya sendiri. Takat bunyi mesin jahit pepagi tu okey lagi. Yang paling tak boleh tahan bila kotak gearnya merajuk atau meragam tanpa amaran. Memang berderau jugaklah kalau kena atas highway.
Sebagai pilihan, enjin tersebut telah digantikan dengan siri 4G63T yang memiliki reputasi lebih meyakinkan. Sebelum dimasukkan, ia turut menjalani proses balik pulih selain mencantikkan semula bahagian ruang enjin. Memandangkan kuasanya sudah memadai, keupayaan enjin ini terus dikekalkan kecuali penempatan sepasang camshaft 272° pada kepala silinder.
Untuk sistem pendesak, sedutan udara dibawa ke mulut turbin TD05 20G yang turut memegang wastegate Tail 38mm. Sebaik disejukkan oleh intercooler Evo IV, lebihan boost yang terbentuk akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Sheepdog. Keperluan bahan api dihantar oleh pam petrol Walbro, sebelum diletuskan oleh koil jenis COP dari enjin K20. Memastikan kuasa yang setimpal, sistem pengurusan enjin kini diselia sepenuhnya oleh unit ECU jenis EVOLink Plug In.
Kereta ini dilengkapi sistem gantungan jenis multi-link untuk depan dan belakang. Secara teorinya, ia menawarkan daya serapan yang jauh lebih baik berbanding model setara. Tu pasal pak menteri dulu pilih Perdana. Tapi bila kuasanya telah dinaik taraf, ia perlu sesuatu yang lebih meyakinkan. Taruk Tein tengok, baru kurang rasa membuai. Sistem hentian menerima set brek dari Galant VRG. Manakala keseluruhan ruang rodanya diisi rim Volk Racing T37V, dengan padanan tayar Goodyear bersaiz 225/45ZR-17.
Tinjauan ke bahagian dalam menyaksikan rangkaian komponen yang menjadi buah mulut pemilik Perdana seperti dashboard, konsul tengah, tempat duduk dan panel pintu, masih utuh di tempatnya. Diselitkan juga beberapa aksesori tambahan lain seperti stereng Momo, tombol gear RalliArt, cermin belakang Zoom Engineering, termasuk gugusan meter Defi dan Defi ZD untuk tujuan pemantauan. Nampak tak panel tengah ngan unit kawalan ekon? Rare tu, siap ada telebisen lagi…