Buat julung kalinya, Kemaman 4X4 Accessories telah menganjurkan acara Kemaman Sand Challenge pada 26 hingga 28 Oktober yang lalu, bertempat di Pantai Chendor, Sempadan Terengganu – Pahang. Berbanding sukan lasak lain, ia diadakan berhampiran kawasan tumpuan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat aksi perlumbaan ini secara lebih dekat.
Pelepasan peserta telah dilakukan oleh Exco Kerajaan Negeri Terengganu, YB Haji Hanafiah Mat. Sementara majlis perasmian telah disempurnakan oleh ADUN Beserah, YB Andansura Rabu. Hampir 100 orang telah mengambil bahagian, meliputi beberapa kelab dan komuniti sukan lasak seperti Kemaman Triton Community, Kemaman Truckers Community, Taxes Ranger, Beginner, Pahang Truckers, Prospeed, Bhuak Team dan lain-lain.
Acara ini menawarkan pengalaman berbeza apabila diadakan di kawasan pantai berpaya dan berpasir. Selain kategori Hard Core, Medium Core dan Light Core untuk perlumbaan offroad, pihak penganjur turut mengadakan perlumbaan Sand Enduro Cross bagi motosikal, serta pertandingan autoshow untuk trak.
Melihat kepada potensi yang ada, pihak penganjur bercadang untuk menjadikan Kemaman Sand Challenge ini sebagai acara tetap bagi merancakkan lagi arena permotoran tempatan.
Foto: Shah Bahulu @ Adam Photography