Foto: Saifuddin Jaafar
Dengan tema Mendekati SIC, Kelab Pemilik Proton Saga Iswara Malaysia (KPPSIM) atau Saga Iswara Club (SIC), telah menganjurkan acara mega tahunan bertempat di Taman Kejiranan Ayer Panas, Kuala Lumpur pada 7 September yang lalu. Dibantu KL Division dan Damansara Crew, ia berjaya menghimpunkan lebih 400 buah model Saga, Iswara dan Fiore dari seluruh negara.
Program tahunan ini bertujuan untuk menyatukan ahli-ahli cawangan, termasuk dari Sabah dan Sarawak. Sebagai tanda sokongan, beberapa kelab dan komuniti Saga Iswara lain turut mengambil bahagian. Kesempatan bertemu digunakan sepenuhnya untuk lebih mengenali antara satu sama lain, serta meninjau keunikan setiap jentera yang dipamerkan.
Pelbagai aktiviti menarik turut diatur sepanjang acara berlangsung. Antaranya pertandingan autoshow dan beyblade, sukaneka, jualan aksesori dan alat ganti, cabutan bertuah dan lain-lain. Memandangkan acara kali ini diadakan di kawasan taman rekreasi, ia turut memberi ruang kepada mereka untuk bersantai dan beriadah bersama rakan dan keluarga.
Terima kasih diucapkan kepada Kenaly FM, S-Shines Beauty, Darah Muda Garage dan Pitstop TV selaku penaja bersama, serta semua yang terlibat menjayakan acara ini.