Sejak kebelakangan ini, dunia permotoran kembali rancak dengan pelbagai program dan aktiviti yang diadakan hampir setiap minggu. Tidak kira samada berkapasiti besar mahupun kecil, semuanya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari penggiat dan juga pencinta dunia permotoran seluruh Malaysia.
Baru-baru ini, satu lagi program permotoran telah diadakan dan berjaya mendapat sambutan di luar jangkaan. Mega Gathering Malaysia 2022 Edisi 1 yang berlangsung di Mydin MITC Melaka pada 2 Julai lalu menerima sambutan luar biasa dan tidak dijangka oleh pihak penganjur.
Lebih 5000 buah kereta dan lebih 10,000 orang pengunjung sekali gus menjadikan program ini sebagai acara permotoran terbesar pernah diadakan khususnya selepas pandemik covid-19. Dianjurkan oleh Sahul Hamid atau dikenali Rahul selaku pengurus CPURT Event Management dengan kerjasama Tourism Melaka, program ini turut dihadiri dan dirasmikan Yang Berhormat Datuk Muhammad Jailani Bin Khamis, EXCO Pelancongan Warisan & Kebudayaan Negeri Melaka.
Pelbagai aktiviti disediakan bagi menarik penyertaan bukan sahaja pencinta dunia permotoran malah sebagai usaha membantu mencegah penglibatan remaja dalam aktiviti kurang sihat seperti lumba haram dan dadah. Antara aktiviti yang disediakan termasuk Autoshow dan Audioshow yang dipecahkan kepada beberapa kategori. Bagi menghangatkan lagi suasana tapak program, para pengunjung dihidangkan pula dengan persembahan khas Splitfire yang mengujakan.
Selepas hampir dua tahun tanpa program hebat melibatkan dunia permotoran khususnya modifikasi kereta, penganjuran Mega Gathering Malaysia Edisi 1 ini dilihat sebagai tepat pada waktunya. Bermacam-macam ragam kereta yang telah dimodifikasi dengan cukup kreatif, tidak kurang juga barisan kereta sistem audio dengan penampilan bukan biasa-biasa. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk melepaskan geram dan mempamerkan kehebatan jentera masing-masing.
Program ini mustahil berjalan lancar tanpa sokongan barisan penaja dan juga kelab-kelab kereta yang sudi memeriahkan dan menyemarakkan lagi Mega Gathering Malaysia Edisi 1 ini. Sokongan dan kehadiran para pencinta dunia permotoran ini menyebabkan pihak penganjur terharu tetapi dalam masa yang sama terkilan kerana sambutan luar biasa membuatkan tiada tempat letak kereta yang mencukupi. Bukan sahaja tempat parking dalam kawasan Mydin penuh, kawasan di luar juga tidak dapat menampung jumlah kereta yang banyak.
Walaupun begitu, pihak penganjur akan berusaha dan memastikan kekurangan yang sama tidak akan berlaku di masa hadapan. Tahniah dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan juga hadir ke Mega Gathering Malaysia Edisi 1 ini. Semoga berjumpa di edisi seterusnya, tidak lama lagi.