Chery baru-baru ini telah membuka tempahan bagi OMODA 5 di China dan melancarkan OMODA Metaverse Community, satu platform perkongsian atas talian bagi pengguna global. Sebanyak tujuh varian SUV tersebut ditawarkan di China dengan pilihan trenkuasa 1.6 TGDI+7DCT atau 1.5 TCI+9CVT. Trenkuasa pertama menghasilkan 197 PS dan 290 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat.
OMODA 5 menawarkan empat mod pemanduan – Eco, Normal, Sport dan Super Sport. Mod terakhir membebaskan kuasa penuh enjin, menukar layout panel meter digital, pencahayaan ambien menjadi kuning terang dan bunyi trek simulasi dimainkan melalui pembesar suara bagi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan.
Falsafah reka bentuk ‘Art in Motion’ baharu Chery memberikan OMODA 5 penampilan statik dan dinamik yang mengagumkan, manakala pada bahagian dalaman, Lion 5.0 AI technology smart cockpit mengelilingi para penumpang dengan teknologi canggih dan warna kontras, memberikan aura futuristik.
Skrin luas 24.6 inci menjadi tumpuan utama, merangkumi maklumat pemanduan serta infotainmen, manakala sistem audio Sony dan pencahayaan ambien berirama 64 warna menyediakan suasana audio-visual yang menghiburkan. Selain itu, kabin ‘C-Pure’ Chery menggabungkan teknologi perlindungan alam sekitar dan reka bentuk ekologi piawaian Eropah, sambil menjaga kesihatan para penumpang melalui sistem penulenan dan penapisan udara ion negatif.
Mengenai OMODA Metaverse Community, platform ini dicipta berdasarkan kehendak golongan muda, dan merupakan salah satu hasil falsafah user-centric Chery di mana kebebasan dan penciptaan bersama menjadi konsep teras. Pengguna global boleh mencipta ‘planet’ hobi dan trend sendiri, lalu berinteraksi dengan pengguna lain yang berkongsi minat yang sama. Mereka juga boleh membuka store dan berkongsi maklumat, dengan points system yang menukar kelakuan pengguna kepada aset.
Bagi menyeronokkan pengumpulan dan penggunaan points, terdapat juga aktiviti interaktif seperti ‘pasaran saham’, ganjaran serta pemindahan dan penebusan kupon. Para pengguna boleh menyertai sesi soal-jawab mengenai komuniti atau produk Chery, dan berkomunikasi dengan lancar pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Meneruskan perjalanan globalnya, OMODA 5 baru-baru ini telah disahkan untuk pasaran Australia, dan Malaysia kekal sebagai salah satu destinasi yang dirancang. Versi OMODA 5 tenaga baharu dilengkapi dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menampilkan dua motor, sembilan mod operasi, 11 kombinasi gear dan twin-shaft drive, menjadikannya yang pertama seumpamanya di kalangan jenama China.