Sekiranya anda berpeluang melayari laman sesawang Mitsubishi, terdapat notis yang agak kurang menyenangkan di bahagian Mirage. Jika diterjemahkan, ia bermaksud Mirage sudah pun tamat di pasaran Jepun seperti yang dilaporkan portal Motor1.
Lapor portal itu lagi, notis tersebut menjelaskan bahawa memandangkan Mirage telah dihentikan, warna atau apa-apa sahaja untuk permintaan mungkin tidak dapat ditunaikan lagi. Pemberhentian model ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pengeluar Jepun ini telah berhenti mengeluarkan beberapa model kereta khususnya model-model kecil kerana lebih mengutamakan SUV dan juga crossover.
Mitsubishi melancarkan generasi keenam Mirage pada tahun 2012 dan boleh dikatakan berusia agak tua di pasaran hari ini. Beberapa perubahan telah dilakukan dan terbaharu dilakukan pada tahun 2019 dengan penambahan ciri-ciri keselamatan serta teknologi. Namun, usaha itu hanya sedikit untuk memodenkan model ini dari luar dan dalamannya.
Salah satu faktor yang membuatkan Mirage kekal bertahan adalah harganya yang mampu milik. Ia juga bukan sesuatu yang mengejutkan andai ini adalah permulaan kepada pengakhiran model Mirage. Adakah Mirage akan kembali sebagai sebuah crossover? Sama-sama nantikan!
Sumber : Motor1