Selepas lima tahun direhatkan, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) kembali menganjurkan Pameran Kenderaan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) pada 23 November hingga 2 Disember yang lalu. Berbanding pameran sebelumnya, edisi kali kesembilan ini telah diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang menawarkan ruang lebih luas dan selesa kepada para pengunjung.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, diiringi Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad. Dengan tema ‘Beyond Mobility’, ia akan membantu merancakkan perkembangan industri automotif, menerusi pengenalan model-model baru yang canggih dan inovatif.
Sejumlah 74 pempamer telah mengambil bahagian, terdiri daripada pengeluar utama kenderaan seperti Proton, Perodua, Toyota, Honda, Nissan, Mitsubishi, Lexus, Ford, Kia, Hyundai, Peugeot, DS, Citroen, UD Trucks, Daihatsu, Isuzu, Tata, CAM, Benelli, Boon Siew Honda, Kawasaki dan lain-lain. Selain model semasa dan pelancaran model baharu, mereka turut memperkenalkan barisan kenderaan yang bakal menembusi pasaran seperti Proton X70, Kia Cerato, DS7, Honda HR-V RS, Nissan Leaf, Ford Mustang, termasuk motosikal Benelli TRK 502X dan Leoncino Trail.
Sebagai daya tarikan, beberapa pengeluar telah mengambil inisiatif untuk membawa kereta konsep ke ruang pameran mereka. Antaranya Perodua X-Concept, Lexus LS+ Concept, juga model FT-1, i-Road dan TS030 oleh Toyota. Beberapa model eco hybrid seperti Honda Clarity, Hyundai Kona dan Nexo turut mencuri tumpuan pengunjung yang berminat.
Pameran dimeriahkan lagi dengan penyertaan syarikat berkaitan automotif yang mempamerkan rangkaian produk dan perkhidmatan masing-masing seperti Petronas Motorsports, 3M, V-Kool, LLumar, KDX, Kakimotor, Ravenol, Motul, NORC, Osram, United Tools, NGK, Toms Stickers, Thinkware, Meguiars, Sonax dan lain-lain. Menerusi promosi yang dijalankan, pengunjung boleh mendapat maklumat tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan, selain menikmati pakej harga lebih menarik.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang meninjau pameran sampingan yang lain seperti pameran inovasi dan teknologi oleh institusi pengajian tinggi, pameran kenderaan berprestasi, klasik dan kustom, serta mengikuti aktiviti permainan dan stimulator yang disediakan. Tidak ketinggalan acara cabutan bertuah yang menawarkan Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi sebagai hadiah utama.
Penganjuran KLIMS 2018 berjaya mengukir satu lagi sejarah dalam industri automotif tempatan. Komitmen semua yang terus menyokong, akan memastikan kelangsungan acara ini pada masa hadapan.