Seramai 40 orang pelumba dari Malaysia, Thailand, Singapura, China dan Perancis telah mengambil bahagian dalam Tonnka Drift King 2018 yang berlangsung di Malacca International Motorsport Circuit pada 9 – 11 November yang lalu. Dianjurkan oleh Perpetually Tonnka, ia bukan saja menampilkan barisan drifter terhebat tempatan, malah turut melibatkan beberapa peserta dari Singapura, Thailand, China dan Perancis.
Perlumbaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Class A dan Open. Dalam perlumbaan Class A, ia telah dimenangi Amirul Taufek selepas menewaskan PD Tan pada pusingan akhir. Sementara Eric Wong, berjaya menundukkan cabaran Kenny Chew untuk penentuan tempat ketiga.
Perlumbaan kategori Open berlangsung pada hari terakhir. Di hadapan penonton yang hadir, setiap peserta berusaha memberikan yang terbaik, sambil diadili Lai Wee Sing, Tan Tat Wei dan Davide dari Thailand selaku juri.
Memasuki pusingan akhir, Lawrence Lim perlu berdepan Bullzai untuk penentuan tempat pertama. Aksi cemerlang yang ditunjukkan Lawrence, memberi kelebihan kepada beliau untuk muncul selaku juara. Podium ketiga pula dimenangi Amirul Taufek, selepas berjaya menyekat kemaraan Farhan Baharom.
Foto: PerfectEdge Motorsports