Hakikatnya, Honda Jazz bukanlah sebuah kereta yang dibina untuk tujuan prestasi. Ia lebih kepada kereta kegunaan bandar yang praktikal serta menawarkan kadar guna petrol yang agak efisyen. Mesra pengguna katanya. Tu pasal golongan akak-akak lebih gemar memilih model ini untuk urusan sehari-hari.
Namun ada tapinya. Kenyataan ini mungkin untuk mereka yang reti beli dan pakai saja. Bagi peminat yang lebih arif, sifat lembut Jazz sebenarnya bukan penghalang untuk dinaik taraf menjadi jentera lebih baik. Malah tuner terkenal seperti J’s Racing dan Spoon juga pernah menghasilkan Jazz, khusus untuk tujuan perlumbaan.
Jazz merah milik Azrin ini nampaknya cukup santai, tanpa kit badan yang mahal-mahal. Nak kata guna aksesori kelas bangsawan jauh sekali. Satu-satunya benda yang boleh menimbulkan tanda tanya adalah unit intercooler, yang jelas terpampang pada bumper depan.
Penempatan intercooler Sard ini, bukan untuk tengok wayang pacak. Ia benar-benar berfungsi selepas enjin L15A asal, menerima setup turbo gantung. Menggunakan unit turbo jenis TF035 yang diambil dari Subaru Forester, ia disangkut pada manifold turbo kustom yang turut memegang wastegate Tial 38mm. Sebaik disejukkan dan dibawa ke mulut throttle body, boost berlebihan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Buat masa ini, komponen dalaman enjin masih bekerja seadanya tanpa sebarang perubahan. Dengan kata lain, kadar boost yang dibenarkan perlu berada pada tahap lebih rendah. Bolehlah buat geli-geli, jadi ada bunyik. Andai kata nak power mencanak, kena pakai FK8R ler gamoknya.
Bekalan bahan api hanya dibantu set injektor 310cc dari enjin K20A Type S. Sistem cucuhan pula tidak berubah dan kekal menggunakan komponen asal. Memastikan perjalanan enjin ini tidak tempang, ia kini ditala sepenuhnya oleh unit piggyback Unichip Q, termasuk pemasangan modul tambahan untuk sistem pendesak.
Peningkatan kuasa ini memerlukan sistem pengendaliannya diberi lebih perhatian. Ia diselesaikan menerusi penggunaan set suspensi boleh laras dari GAB. Membolehkan kereta ini berhenti dengan selamat, sistem brek depan telah digantikan dengan kaliper 4-pot dari Project U. Sementara ruang roda pula dihias rim SSR Type-C RS, yang dibalut pada tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 205/50R-16.
Seperti luar, bahagian dalam juga tidak mengalami perubahan yang ketara. Hampir kesemuanya masih mengharapkan keindahan komponen asal. Yang ada cuma unit paparan CAG dan meter boost Apexi, untuk tujuan pemantauan.
Menjelang tahun depan, Jazz berkemungkinan akan menerima model generasi baru yang lebih segar. Katanya dah siap ada turbo. Nak tau camana rupanya, sama-sama kita tunggu…