Saga Iswara Club Malaysia telah menganjurkan acara Saga Iswara Club Track Day 2018 pada 4 November yang lalu, bertempat di Litar Dato Sagor, Kg. Gajah Perak. Diuruskan oleh Sucimuci Motorsport, ia turut menerima sokongan VervX sebagai penaja bersama.
Penganjuran acara ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemilik Saga Iswara, merasai pengalaman pemanduan dan perlumbaan di litar. Selain mengasah bakat dan kemahiran, ia turut membolehkan mereka berlumba dalam suasana lebih selamat dan terkawal.
Sejumlah 62 orang peserta telah mengambil bahagian, melibatkan perlumbaan trek dan drag. Ia dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu 4G13, 4G15, Race Car 4G1X, 1800cc, Ladies dan Open, termasuk kategori 1500cc, 1800cc dan Open untuk perlumbaan drag. Dalam perlumbaan trek, Muhammad Khairul Nizam yang memandu Proton Saga 4G1X berjaya mencatat masa terpantas 51.379 saat, sekaligus mengatasi cabaran peserta lain.
Selain acara litar, para pengunjung juga berpeluang mengikuti aktiviti sampingan yang lain seperti jualan komponen dan aksesori oleh ahli-ahli kelab, perlumbaan simulator, dan peraduan mewarna untuk kanak-kanak. Pelumba rali negara Karamjit Singh yang juga duta VervX, juga hadir untuk sesi ramah mesra bersama peserta dan pengunjung.
Foto: Tune Photography