Kia Dedah Carnival 2021 Di Korea
Kia Carnival akhirnya dilancarkan secara rasmi di pasaran Korea Selatan dengan rekaan luaran dan dalaman yang jauh lebih menarik berbanding model terdahulu. Mahu dikenali sebagai Grand Utility Vehicle, ia tampil dengan rekaan gril tiger nose yang lebih lebar, di samping sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis.
Gayaan hadapan diserlahkan lagi dengan bampar yang berlekuk-lekuk dan corong pengambilan udara bersama kemasan krom. Bahagian belakang pula menerima bar lampu yang memanjang dan skid-plate seperti sebuah SUV. Pelanggan di Korea Selatan akan ditawarkan engan lapan pilihan warna, selain beberapa reka bentuk rim bersaiz 17, 18 dan 19 inci.
Carnival hadir dengan beberapa enjin. Ini termasuklah enjin 2.2 diesel Smartsteam berkuasa 199hp dan tork 440Nm, enjin petrol 3.5 liter MPi (268hp dan tork 332Nm) dan enjin 3.5 liter GDi V6 berkuasa 290hp dan tork 355Nm. Semua enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.
Aspek keselesaan ditingkatkan dengan penggunaan suspensi bebas sepenuhnya. Kualiti NVH juga lebih baik apabila Kia memasang material penyerap bunyi pada kabin, ruang enjin dan penutup bahagian bawah badan. Dengan platform baharu, dimensi Carnival generasi keempat ini 40mm lebih panjang dan tapak roda 30mm lebih lebar. Bergantung kepada pasaran, Kia menawarkan konfigurasi tiga atau empat baris tempat duduk dengan kapasiti tujuh, lapan atau 11 orang penumpang.
Sumber : Mekanika
Website :https://www.mekanika.com.my/
Facebook :https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram :https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube :https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ