Ditangkap Beli Kia Stinger Guna Duit Bantuan Covid-19
Seorang lelaki berusia 41 tahun, Kenneth Gaughan ditangkap dan didakwa setelah didapati memperolehi bantuan lebih USD$2.1 million dari kerajaan menerusi bantuan Paycheck Protection Program. Selain program bantuan tersebut, beliau turut menerima Economic Injury Disaster Loans dengan memohon bagi pihak beberapa syarikat. Gaughan juga dikatakan telah menipu dengan bertindak sebagai wakil untuk menerima bantuan serta melakukan pemalsuan kertas kerja dan juga rekod-rekod bank.
Setelah menerima duit bantuan tersebut, beliau membeli Cruiser Yachts 338 CX 2020 bernilai USD300,000, sebuah rumah berharga USD1.13 million dan sebuah Kia Stinger tahun 2020 bernilai USD46,000. Pihak berkuasa telah merampas bot layar, Kia dan pelaburan serta akaun bank Gaughan selepas menahannya. Mereka juga dikatakan sudah memfailkan kes ke atas rumah yang dibeli Gaughan.
Selain itu, beliau turut didakwa untuk kes yang lain berkaitan dengan kecurian sebanyak USD472,000 duit bantuan di Catholic Archdiocese di Washington di antara tahun 2010 dan 2018. Beberapa minggu lalu, seorang lagi turut didakwa atas tuduhan menggunakan duit bantuan Paycheck Protection program untuk membeli sebuah Lamborghini Huracan Evo. – carscoops