Dianggarkan lebih 80,000 pengunjung telah mengunjungi Retro Havoc 2023 yang melibatkan 1,000 buah kereta dan motosikal diadakan pada 27 Mei lalu di The Curve Mutiara Damansara sekali gus mencatatkan satu lagi kejayaan pihak penganjur pada skala lebih besar. Di sebalik kejayaan, terpalit beberapa insiden yang kurang menyedapkan mata dan telinga yang mendengar. Malah, pihak Retro Havoc sendiri telah menyiarkan kenyataan media di atas kekhilafan yang berlaku.
Tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak tetapi dalam program berskala besar sebegini memang sukar untuk memastikan keadaan kekal terkawal. Apatah lagi dengan kehadiran para pengunjung yang begitu teruja kerana berpeluang melihat kereta-kereta yang diubahsuai cukup unik depan mata. Tak ubah seperti kanak-kanak yang dibawa masuk ke taman tema, memang mudah hilang kawalan. Apa-apa pun, diharapkan masalah yang sama tidak akan berulang di masa hadapan dan para peserta tidak serik untuk memeriahkan Retro Havoc yang akan datang.
Insiden yang berlaku tidak seharusnya mengaburi hakikat bahawa Karnival Sukan Permotoran Retro Havoc 2023 sekali lagi muncul sebagai salah satu acara yang berjaya menghimpunkan kereta-kereta modifikasi terbesar dan paling gempak di Malaysia. Lihat sahaja dari jumlah penyertaan dan juga kehadiran pengunjung yang tidak putus-putus sejak ia dimulakan sehingga melabuhkan tirai. Bukan hanya terhad kepada pencinta dunia permotoran, ada juga yang hadir sekadar suka-suka untuk mengambil tahu dan merasai kehebatan Retro Havoc ini.
Sebelum berlangsungnya Retro Havoc 2023, pihak media terlebih dahulu diberikan peluang untuk menghadiri majlis pelancaran yang menyaksikan kemunculan pertama Devil Pinko, Si Debab, Ford Escort MK1, Mercedes-Benz W202 Thomas Otto dan The Chopson. Lebih istimewa lagi, pihak penganjur memberikan kesempatan kepada para media melihat proses penyusunan kereta-kereta yang memang ‘rare’ dan sangat sesuai untuk penyertaan Retro Havoc 2023
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, Retro Havoc turut mengundang tetamu antarabangsa. Pada tahun ini, Retro Havoc telah menjemput Daijiro Inada dari J.D.M God Father, Shoji Inoue dari Star Road, Ichiraku Toshiya 1048 Style, Khyzyl Saleem dari The Kyza, Rick Muda dari SpeedHunters dan Lulut Retro dari Kustomfest. Dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh Tseow Suan yang turut meluangkan masanya menyantuni para peserta dan juga pengunjung.
Berbanding tahun lepas dengan kehadiran pengunjung sekitar 20,000 orang, Retro Havoc kali ke-8 ini menyaksikan penambahan berlipat kali ganda sekali gus menunjukkan perkembangan positif khususnya dari penggiat industri modifikasi. Diharapkan peningkatan ini akan diteruskan di masa hadapan dengan beberapa penambahbaikan khususnya dari segi keselamatan untuk Retro Havoc yang seterusnya tidak lama lagi!
Gambar :
Sufiyan (77thStreets.com)