Selepas menggegarkan Batu Kawan di Pulau Pinang untuk penganjuran kali ke-3 yang lalu, Malaysia Satria Day kembali menghangatkan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang. Bagai sirih pulang ke gagang kerana penganjuran Malaysia Satria Day 4 ini menandakan kali ketiga ia diadakan di sini.
Dianjurkan oleh Jaikawa dengan kerjasama Akmal Ate dan Megat Klang serta sokongan padu dari penaja utama iaitu Mr. Absorber. Bagi makluman, penganjuran Malaysia Satria Day kali ke-4 ini berjaya menghimpunkan seramai 10,000 orang pengunjung serta para peserta yang terdiri daripada kelab-kelab kereta dan komuniti pemilik kereta Satria.
Penganjuran program ini bertambah meriah dan berjalan lancar dengan sokongan dari barisan penaja. Antara yang turut terlibat sebagai penaja program ini termasuk Takamitsu Autopart, Darwin Sunroof, Vapempire, Pipol, AC Autogarage dan Rocky Ottomobile. Tidak ketinggalan, beberapa nama lagi seperti Carlab Detailing, HF Hydrographic dan 41 Garage.
Selain dapat berhimpun dan bertemu para pemilik Satria lain dari seluruh negara, pelbagai aktiviti lain turut disediakan pihak penganjur agar program ini sentiasa meriah dan bergema dari saat ia bermula sehingga menutupkan tirai. Antara aktiviti lain yang diadakan seperti Cabutan Bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta Satria (restore).
Para peserta dan pengunjung juga berpeluang menyaksikan Autocross dan Time Attack. Malah, para pengunjung tidak berganjak sepanjang menyaksikan pertunjukkan drift yang dilaksanakan oleh Nazam Shah. Walaupun hujan di sebelah paginya dan membuatkan banyak aktiviti dilewatkan, ia tidak sedikit pun mematahkan semangat para peserta dan pengunjung.
Tahniah kepada pihak penganjur, barisan penaja dan tidak lupa juga kepada para peserta yang meluangkan masa datang ke MAEPS dan memeriahkan lagi penganjuran Malaysia Satria Day 4 ini. Semoga penganjuran yang akan datang bakal berlangsung lebih meriah dengan pelbagai aktiviti lain disediakan!