Salah satu acara gergasi dunia modifikasi kereta, bukan sahaja dinanti-nantikan para peminat di rantau Asia malah serata dunia, Tokyo Auto Salon mendarat di Kuala Lumpur. Berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Jun yang lalu, penganjuran ini secara tidak langsung memenuhi impian pengikut acara ini yang hanya dapat melihat atau mengikuti perkembangannya menerusi laporan media.
Sejak 40 tahun penganjurannya, Tokyo Auto Salon telah berkembang menjadi acara antarabangsa yang bukan sahaja menjadi tumpuan para peminat malah juga para pempamer yang terdiri daripada nama-nama besar industri. Tidak dapat dinafikan, Tokyo Auto Salon merupakan sebuah platform paling berprestij untuk pengeluar automotif dan juga alat-alat ganti serta aksesori samada besar mahupun kecil.
Apabila Kuala Lumpur diumumkan sebagai salah satu lokasi berlangsungnya Tokyo Auto Salon, ia membuka satu lebaran baharu dan catatan sejarah dalam industri automotif negara. Diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dalam teks ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada Element X Strategies, MUSE Group Asia dan San Ei Corporation atas kerjasama untuk menganjurkan Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang disifatkan sebagai salah satu inovatif yang luar biasa. Tahniah kerana membawa masuk acara dari Jepun yang pastinya memberikan nilai yang sangat tinggi bukan sahaja kepada Malaysia malah kepada rantau Asia.
Ini dapat dilihat menerusi nama-nama besar yang turut terlibat sepanjang berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur. Di antaranya termasuk Top Secret, Spoon, HKS, Greddy, Kuhl Japan, Rohan X Bloom Gold Mustang, Toyota 2000gt Hosoya Shihomi Grand Prix, Renault Ravage A110 By Cars Hatano dan macam-macam lagi. Bukan itu sahaja, para pencinta kereta-kereta JDM pastinya mengambil peluang ini untuk melihat dengan lebih dekat kereta-kereta yang telah dimodifikasi.
Selain itu, buat pertama kalinya di Malaysia kereta-kereta Initial D dijadikan sebahagian pameran bersama Hot Wheels dan banyak lagi. Lebih 100 kereta hasil modifikasi tempatan juga berentap dalam pertandingan “Auto Styling” dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran kelab-kelab kereta. Tidak ketinggalan, para pemasang dan bengkel modifikasi sepanjang berlangsungnya Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur ini.
Bagi penganjuran kali pertama, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur berjaya menghimpunkan lebih 91,000 pengunjung sepanjang tiga hari ia berlangsung. Jumlah yang tersasar dari jangkaan awal seramai 150,000 pengunjung. Mungkin kerana faktor harga tiket yang dikenakan iaitu RM60 dan RM28 untuk dewasa dan kanak-kanak atau mungkin juga lokasi. Walau apa-apa pun, tahniah diucapkan dan semoga Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur akan terus diadakan di masa akan datang dengan menyaksikan peningkatan kehadiran para pengunjung.