Bertempat di Sunway Rock Cafe di Subang Jaya telah berlangsungnya satu himpunan santai para pemilik Nissan Cefiro A31. Dianjurkan oleh Kazuto Garage, lebih 20 unit kereta Cefiro A31 dari pelbagai gaya modifikasi dan kumpulan berjaya dihimpunkan.
Bermula pada pukul 6.30 petang, acara santai ini tetap berlangsung meriah walaupun tanpa aktiviti seperti drag atau drift mahupun sesi demo. Kesempatan ini diambil para pemilik kereta dengan bersembang dan berkongsi cerita tentang jentera masing-masing. Tidak kurang juga bertemu dengan rakan-rakan yang sudah agak lama tidak berjumpa.
Bermacam-macam ragam kereta A31 yang dapat ditemui pada acara ini. Pelbagai modifikasi unik serta kreatif yang pastinya membuat mata terpukau. Kenangan ini sempat dirakam lensa kamera untuk tatapan di masa akan datang. Tahniah kepada penganjur khususnya saudara Kazuto kerana berjaya mengangjurkan acara yang serba santai tapi tetap meriah ini.