Baru-baru ini, Chery telah melancarkan Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan. SUV tujuh tempat duduk tersebut ditawarkan dalam varian Distinctive dan Executive. Afrika Selatan merupakan negara pertama di benua Afrika yang menerima Tiggo 8 Pro, setelah ketibaan model tersebut di pasaran-pasaran lain seperti Amerika Selatan, Rusia dan Timur Tengah.
“Dalam merancang pelancaran Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan, kami menggambarkan analogi First-Class travel, di mana setiap keperluan anda diutamakan tanpa kos tersembunyi dan di mana kemewahan menjadi kepastian. Kami ingin mencipta pengalaman ini bagi pelanggan Tiggo 8 Pro, daripada reka bentuk ke tempat duduk, prestasi dan sudah tentu, kemewahan. Kami menjemput pelanggan untuk menikmati First Class mereka,” kata Timbalan Pengurus Besar Eksekutif Chery Afrika Selatan Tony Liu.
Tiggo 8 Pro memaparkan “Movement Design”, iaitu etos reka bentuk Chery generasi baharu. Gril tiga-dimensi yang diilhamkan oleh galaksi serta lampu hadapan LED matriks automatik dan lampu nyalaan siang (DRL) berkembar yang terdapat pada semua varian mewujudkan penampilan yang kukuh.
Krom satin menghiasi salur masuk udara rendah – yang turut berfungsi sebagai plat gelincir – lampu kabus, gril, tingkap dan bahagian bawah pintu. Terdapat juga rel bumbung krom yang mampu menanggung beban, rim aloi hitam dan krom 18 inci serta bumbung matahari panoramik (varian Executive sahaja).
Pada bahagian dalaman, semua fungsi kenderaan dikawal melalui tiga skrin – panel meter mendatar 12.3 inci, skrin kawalan iklim 8 inci dan skrin infotainment terapung 10.25 inci yang memaparkan Apple CarPlay, Android Auto dan kamera undur.
Terdapat pada semua varian adalah sistem kawalan iklim automatik dwi-zon dilengkapi dengan sistem penapis udara gred N95. Varian Executive pula menambah sistem penghawa dingin bagi barisan penumpang ketiga. Semua varian menawarkan pengecasan tanpa wayar, kawalan suara pintar dan lapan pembesar suara surround SONY.
Tempat duduk kulit terdapat pada semua varian (dengan corak jahitan berbentuk berlian pada varian Executive). Pemandu boleh melaraskan tempat duduknya secara elektrik dengan enam hala dan memori, manakala pada varian Executive, tempat duduk penumpang hadapan boleh dilaraskan empat hala dengan lumbar, juga secara elektrik. Ciri-ciri dalaman lain termasuk tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40, port USB dan 12V, serta pencahayaan ambien.
Dari sudut keselamatan, enam beg udara, Traction Control (TCS), Roll Stability Control (RSC) dan ISOFIX terdapat pada semua varian Tiggo 8 Pro. Varian Executive menambah Lane Departure Warning (LDW), Automatic Cruise Control, Automatic Emergency Braking (AEB), Traffic Sign Recognition (TSC), Intelligent High-beam Control (IHC), Blind Spot Monitoring (BSD), Front Collision Warning (FCW) dan Emergency Brake Override System (BOW).
Turut terdapat pada semua varian adalah Rear Park Distance Control (PDC) – merangkumi kamera undur dengan panduan dinamik dan pandangan 360 darjah – penutupan tingkap kawalan jauh, pemantauan tekanan udara tayar, hill assist, downhill ascent control dan sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci.
Tiggo 8 Pro dikuasakan oleh enjin suntikan-terus turbo 1.6 liter yang diiktiraf dalam pertandingan enjin China Heart kerana kecekapan tenaganya. Enjin ini yang menghasilkan 197 PS pada 5,500 rpm dan 290 Nm antara 2,000 dan 4,400 rpm dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Terdapat mod pemanduan Standard, Eco dan Sport serta mod stereng Eco dan Sport.
Mengikuti jejak langkah Tiggo 4 Pro, Tiggo 8 Pro didatangkan dengan waranti enjin komprehensif 10 tahun/1,000,000 km di Afrika Selatan, bagi pemilik asal. Waranti kenderaan lima tahun/150,000 km, bantuan kecemasan tepi jalan selama lima tahun serta pakej servis komprehensif lima tahun/60,000 km turut ditawarkan.
Tiggo 8 Pro adalah antara model Chery yang dirancang untuk pelancaran di Malaysia.