Sambutan yang sangat menggalakkan untuk acara yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 4 hingga 6 Mac lalu membuktikan, para penggiat dan pencinta dunia permotoran sudah bersedia untuk kembali merancakkan semula industri ini setelah lama dicengkam dengan pandemik.
Walaupun belum reda dan kes positif harian masih tinggi, pihak penganjur dan semua yang terlibat berjaya menganjurkan acara ini dengan mematuhi SOP yang digariskan pihak kerajaan. Bertempat di Stadium Bukit Jalil, Velocity Motor Show ini menyediakan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja untuk peminat kereta, audio dan motor, malah membuka ruang untuk para peniaga membuka gerai masing-masing di sini.
Sebagaimana yang disebut awal-awal tadi, acara ini berjaya menghimpunkan kembali para peminat serta penggiat dunia permotoran. Pelbagai kereta dengan modifikasi unik telah datang mewarnakan lagi Stadium Bukit Jalil ini. Tidak ketinggalan juga kereta-kereta audio dengan sistem yang padu, mengiringi sepanjang acara berlangsung.
Selain kereta-kereta restorasi dan modifikasi, para pengunjung juga berpeluang menyaksikan satu catatan rekod baharu dicipta oleh para pemilik motosikal Harley-Davidson yang diadakan pada 6 Mac. Sebanyak 902 buah motosikal Harley-Davidson berjaya dihimpunkan dalam satu masa yang sama sekali gus membolehkan ia memasuki Malaysia Book Of Records.