PROTON menurunkan harga kenderaan sebanyak 1.2% hingga 5.7% berikutan pengumuman kerajaan berhubung pengecualian cukai jualan pembelian kereta untuk tempoh enam bulan mulai hari ini. Menurut kenyataan PROTON, harga-harga baharu ini efektif sepanjang tempoh insentif dilaksanakan. Ia sebagai langkah meningkatkan ekonomi selepas sekatan akibat COVID-19 berakhir.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong berkata pihaknya ingin mengambil peluang ini untuk memaklumkan ia adalah masa terbaik memiliki kereta PROTON. “Kami menyambut baik inisiatif kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelan PENJANA. Kerajaan juga mengiktiraf industri automotif sebagai antara yang terpenting di dalam ekosistem negara,” katanya.
Kini terdapat kira-kira 700,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung dalam industri automtif negara. Ia menyumbang sekitar 4.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sekali gus memainkan peranan utama dalam usaha pemulihan ekonomi negara.
PROTON juga sedang mengatur beberapa strategi untuk meningkatkan jualan. Pada masa sama perlu mengambil kira sentimen pembeli sepanjang tahun 2020. Ini termasuklah menerapkan penjarakan sosial yang ketat dan melakukan sanitasi secara kerap di pusat-pusat pameran dan servis. PROTON juga menggalakkan penggunaan tempahan dalam talian bagi transaksi tanpa sentuhan.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ