Sehingga ke hari ini, E39 M5 merupakan jentera BMW yang paling baik dan sedan sport kukuh pernah dibina. Justeru itu, tidak hairanlah jika ada penggemar atau penyimpan koleksi jentera BMW sanggup mengeluarkan duit yang banyak semata-mata untuk memilikinya. Contoh yang paling hampir adalah BMW ini yang telah dijual pada harga tidak masuk akal $200,000 atau RM826,304.39. Hampir mencecah sejuta ringgit!
Terdahulu, kereta ini disenaraikan oleh Enthusiast Auto Group (EAG) yang merupakan sebuah pengedar yang berlokasi di Cincinnati yang khusus untuk kereta BMW M. Menurut maklumat yang dikongsi, BMW ini hanya pernah dimiliki oleh seorang pemilik yang juga seorang pemain piano dan jarang memandu. Ini dapat dilihat menerusi catatan odometer iaitu 3,157 batu dan masih menggunakan tayar asal!
Pihak EAG hanya melakukan beberapa kerja baik pulih termasuk mengecat dengan cat baharu, penghawa dingin serta pemeriksaan mekanikal untuk memastikan pemilik seterusnya membeli kualiti yang hampir sama seperti BMW yang tersimpan di muzium.
Apa yang menjadi persoalan, kenapa harganya terlalu mahal? Jawapannya mudah. Ianya model yang jarang dan masih lagi dalam keadaan yang baik. Model M5 ini dikeluarkan pada tahun 2003, tahun terakhir untuk generasi E39 yang menyaksikan sedan ini berada dalam keadaan terbaik dan juga keluaran yang sangat terhad berbanding tahun-tahun sebelumnya. Tambahan pula, tidak ramai orang yang membeli sebagai penyimpan koleksi dan kerana itu, hanya beberapa model sahaja yang tinggal dalam keadaan masih baik seperti yang dapat dilihat ini.
Sumber : Carscoops / Enthusiast Auto Group (EAG)