Salinan Myvi kepada model JDM seperti Passo dan Boon bukanlah sesuatu yang asing untuk kita di sini. Dari model pertama tahun 2005 lagi orang dah mula. Walaupun formula binaannya hampir sama, permintaan terhadap komponen salinan ini tidak pernah reda dan ia masih lagi dimainkan sehingga hari ini.
Generasi kedua Myvi hadir pada tahun 2011, dengan rekaan yang jauh lebih bulat khususnya di bahagian pilar belakang. Hal ini memberi peluang kepada pemiliknya untuk mengenakan salinan komponen Passo dan Boon terkini. Namun bagi mereka yang terlebih kental, penggunaan kit badan Passo Hana seperti kereta Faliq ini mampu mencipta kelainan yang dinginkan.
Begitu pun, tak semua komponen model ini boleh diguna terus tanpa ubahsuai. Beberapa perubahan penting perlu dilakukan khususnya di bahagian lampu belakang. Termasuk dalam pakej ini adalah beberapa komponen penting mengikut katalog Modellista seperti lip depan dan belakang, garnish lampu, lining pintu, serta rangkaian aksesori berkrom yang lain.
Bahagian roda diserikan dengan rim Prauzer Kosei, seperti yang disarankan dalam katalog Modellista. Ia dibalut pada tayar Yokohama Bluearth, yang hanya bersaiz 175/65R-14. Sistem hentian yang sudah memadai tidak diusik. Manakala sektor gantungan, dibantu set suspensi boleh laras dari GAB.
Selain luaran, nadi kuasa kereta ini juga telah dirombak untuk menempatkan sebuah enjin yang jauh lebih kecik berbanding sesaran asal. Buat masa ini, tiada sebarang perubahan yang dilakukan dan pemilihan enjin jenis 1KR-FE ini dibuat, bagi membolehkannya menggunakan kotak gear dan sistem pacuan 4WD sepenuhnya. Ya, dah kais empat kaki sekarang. Baru senang nak panjat bukit!
Ruang dalaman adalah yang paling mewah untuk kereta ini. Bermula dengan salinan lengkap komponen Passo Hana untuk dashboard, stereng, panel pintu dan tempat duduk, ia kemudian telah diserikan dengan pilihan trim berwarna hijau. Bergantung kepada tema yang dibawa, terdapat juga trim warna oren, krim, atau coklat yang boleh dipilih. Turut kelihatan rangkaian aksesori juga dari katalog Passo Hana seperti trim dan panel Modellista Crocus Yellow, tray simpanan barang, karpet, dan lain-lain.
Terlalu banyak contoh salinan Myvi kepada model JDM yang boleh dijadikan panduan. Walaupun realitinya hampir sama, kreativiti setiap pemilik mampu mewujudkan kelainan yang diharapkan…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Muhammad Faliq Mohd Noor
- Pengeluar – Perodua
- Model – Myvi
- Tahun – 2014
- Enjin asal – K3-VE
- Modifikasi Enjin – 1KR-FE
- Transmisi – Automatik, sistem pacuan 4WD
- Ekzos – Modellista
- Luaran – Kit badan Passo Hana 2010, aksesori Modellista, sunroof
- Suspensi – GAB
- Brek – Standard
- Rim & Tayar – Prauzer Kosei 14-inci & Yokohama Bluearth 175/65R-14
- Dalaman – Salinan komponen Passo Hana 2010, trim interior hijau, aksesori Passo Hana
- Bengkel – Passo Brothers