Yakinlah yang model ini sebenarnya, masih menjadi buruan sehingga hari ini. Macam tak reti tua pulak, memandangkan ia direka oleh mereka yang faham tentang kereta. Memang ada jiwa punyalah. Belum lagi cerita pasal potensinya merobek ego jentera yang jauh lebih moden.
Sesuai dengan perkembangan semasa, menemukan sebuah Civic EG6 dengan enjin K-Series juga semakin mudah. Ramai yang sudah beralih gara-gara kemampuannya untuk dinaik taraf. Barangan prestasi pun makin banyak. Andai kata nak cuba tukar selera, keseluruhan enjin ini masih boleh disalin dan digunakan ke atas casis Honda lain tanpa masalah.
Rey memilih enjin K20A dari Integra DC5 sebagai asas. Ia kemudian telah dipertingkatkan, menerusi padanan blok K24, serta camshaft Civic FD2R di bahagian kepala silinder. Sebelum digantung pada cagak enjin Hasport, keseluruhan ruang enjin ini telah dikemas semula termasuk menyediakan laluan baru untuk sebahagian komponen yang diperlukan.
Suapan udara diterima daripada penapis udara K&N, sebelum menyelinap masuk menerusi unit throttle body Super90 pada manifold kemasukan Accord CL7. Bagi memulakan proses pembakaran, bekalan petrol dihantar oleh pam petrol AEM ke rel bahan api Works Engineering, dengan kadar tekanan dilaras menggunakan unit regulator Two Racing. Untuk seliaan lebih tepat, perjalanan enjin ini seterusnya ditala oleh unit ECU Hondata K-Pro.
Bahagian luar dibina kemas seperti sepatutnya. Ada hood FRP kustom, fender J’s Racing, lip depan dan skirt sisi Mugen, serta spoiler dari Spoon. Tidak ketinggalan penggunaan cermin sisi Craft Square, lampu depan TYC, termasuk lampu belakang versi albino.
Sektor pengendalian dibina lebih tegar, hasil bantuan set suspensi boleh laras Tein Flex, termasuk penggunaan lengan bawah Function 7 di bahagian belakang. Ketegaran casis juga diperkukuhkan dengan bar traction K-Tuned, bar strut Mugen, selain set bush dari Hardrace. Sistem hentian menggunakan kit brek Spoon Monoblock di bahagian depan, beserta set rotor 300mm, hos braided, dan pad brek Dixcel. Pelengkap kepada sektor ini adalah rim Racing Hart CP035 berukuran 16-inci, yang dipadankan bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 205/50R-16.
Ruang dalaman agak kontra berbanding luaran, gara-gara penggunaan roll cage Cusco, serta sepasang tempat duduk Recaro SR4 milik Integra DC5 yang berwarna biru. Ia turut dihiasi stereng Mugen SW3, hub stereng NRG, tuas gear K-Tuned, tombol gear Mugen, pedal Mugen, paparan gear Ultra, juga gugusan meter Defi. Lain-lain komponen disalin sepenuhnya dari model 94, yang memang diburu oleh pemilik model ini…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Rey
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic EG6
- Tahun – 1992
- Enjin asal – B16A
- Modifikasi Enjin -K20A Integra DC5, blok K24, camshaft Civic FD2R, cagak enjin Hasport, stud ARP, penapis udara K&N, throttle body Super90, manifold kemasukan Accord CL7, pam petrol AEM, rel bahan api Works Engineering, injektor Ultra, regulator Two Racing, ECU Hondata K-Pro, penyambung hos FRP, hos radiator K-Tuned, radiator aloi Synergy, penyejuk minyak Setrab, terminal bateri Morosso
- Transmisi – Kotak gear Integra DC5R, final drive 4.7, set klac OS Giken Street Master, pam klac S2000
- Ekzos – Ekstraktor Hytech, paip kustom 3-inci, muffler K-Tuned
- Luaran – Hood FRP kustom, fender J’s Racing, lip depan & skirt sisi Mugen, spoiler Spoon, cermin sisi Craft Square, lampu depan TYC, lampu belakang albino
- Suspensi – Kit suspensi boleh laras Tein Flex, lengan bawah Function 7, bar traction K-Tuned, bar strut Mugen, set bush Hardrace
- Brek – Kaliper Spoon Monoblock, rotor 300mm, hos braided, pad brek Dixcel
- Rim & amp; Tayar – Racing Hart CP035 16-inci & Yokohama Advan Neova AD08R 205/50R-16
- Dalaman – Set interior Civic EG6 94, roll cage Cusco, Recaro SR4 Integra DC5, stereng Mugen SW3, hub stereng NRG, tuas gear K-Tuned, tombol gear Mugen, pedal Mugen, paparan gear Ultra, meter Defi
- Bengkel – G-Jan Garage