Tak dinafikan kebanyakan Civic generasi EG dan EK yang dipaparkan, memiliki gaya yang tersendiri. Naik taraf luaran dan dalaman mungkin tak banyak mana. Tapi kebanyakan mereka menang mudah di bahagian modifikasi enjin. Bukan saja penuh kuasa, malah turut didatangkan dengan pakej kosmetik yang sangat mengeliurkan.
Ambil contoh Civic Ferio EG8 milik Anz ini. Luarannya masih menggunakan kit badan asal, sebelum diserikan dengan komponen tambahan yang bersesuaian. Antaranya hood dan fender J’s Racing, lip depan Mugen, lampu utama Denji, serta cermin sisi Craft Square. Juga terlibat set rim Racing Hart CP035, yang dibalut pada tayar Bridgestone Potenza RE71R bersaiz 205/50R-16.
Harap tayar jer bagus tapi karektor macam sampan pun tak boleh jugak. Maka keseluruhan sistem suspensi telah dinaik taraf menggunakan kit boleh laras dari ZerOne, termasuk padanan lengan bawah Function 7 di bahagian belakang. Ketegaran casis kemudian diperkukuhkan dengan bar traction K-Tuned, selain set bush dari Hardrace. Untuk kuasa hentian yang sepadan, komponen brek depan kini menggunakan kaliper Spoon Monoblock, sambil dipandu set rotor 300mm, hos braided, serta pad brek dari Dexcel.
Sebagai seorang yang cintakan prestasi, keupayaan enjin asal telah disisihkan dan diganti dengan enjin K20A dari Integra DC5R. Kerana yakin dengan kuasa yang ada, keseluruhan isi perutnya terus kekal tanpa diusik. Hampir kesemua naik taraf yang dilakukan tertumpu kepada komponen luaran, namun masih menyumbang kepada peningkatan prestasi yang diperlukan.
Anz turut memberi tumpuan kepada aspek kosmetik. Sebagai permulaan, keseluruhan ruang enjin ini perlu disediakan sebaik mungkin. Mana-mana komponen kurang perlu telah disisihkan, termasuk mengalih dan membina laluan baru untuk sebahagian yang lain.
Kedudukan enjin digantung pada cagak rekaan Hasport, yang memang direka khas untuk tujuan ini. Gumpalan wayar yang dulunya bersimpang siur, telah diringkaskan dengan set harness dari Mil-Spec. Senarai komponen lain diambil terus dari katalog K-Tuned seperti penutup koil, sensor TPS, kit pulley sisi, perumah radiator dan lain-lain.
Nak kasi lagi kemas, kereta ini dikuasakan dengan setup 4-throttle atau ITB dari OBX. Bagi membentuk campuran bahan bakar yang diperlukan, bekalan bahan api dibawa menerusi pam petrol DW200, dengan kadar tekanan dilaras regulator Aeromotive. Untuk seliaan lebih tepat, perjalanan enjin kemudian ditala sepenuhnya, menggunakan unit ECU Hondata K-Pro.
Jengahan ringkas ke bahagian dalam mendapati kebanyakan komponen asal telah disalin menggunakan set interior model 94. Membantu menaikkan lagi serinya adalah, sepasang tempat duduk Recaro Civic EP3, stereng Spoon, hub stereng Arospeed, meter utama S2000, paparan gear Ultra, serta tuas billet dan tombol gear K-Tuned. Tak nampak pun radio, tak dengor lagu ke? Kalau dah hiruk sepekan dengan bunyi VTEC, lagu Wani Hasrita pun jadi tak sedap…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Azihan Hassim (Anz)
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic Ferio EG8
- Tahun – 1992
- Enjin asal – D16A
- Modifikasi Enjin -K20A Integra DC5R, cagak enjin Hasport, harness Mil-Spec, penutup koil, sensor TPS, kit pulley sisi & perumah radiator K-Tuned, kit ITB OBX, pam petrol DW200, regulator Aeromotive, ECU Hondata K-Pro, penyambung hos FRP, bolt & nut titanium
- Transmisi – Kotak gear Integra DC5R, set klac Exedy Racing, pam klac S2000, kabel klac K-Tuned
- Ekzos – Ekstraktor Hytech, paip kustom 2.5 inci, muffler J’s Racing
- Luaran – Hood & fender J’s Racing, lip depan Mugen, lampu utama Denji, cermin sisi Craft Square
- Suspensi – Kit suspensi boleh laras ZerOne, lengan bawah Function 7, bar traction K-Tuned, set bush Hardrace
- Brek – Kaliper Spoon Monoblock, rotor 300mm, hos braided, pad brek Dexcel
- Rim & Tayar – Racing Hart CP035 16-inci & Bridgestone Potenza RE71R 205/50R-16
- Dalaman – Set interior Civic EG8 94, tempat duduk Recaro Civic EP3, stereng Spoon, hub stereng Arospeed, meter utama S2000, paparan gear Ultra, tuas billet & tombol gear K-Tuned
- Bengkel – G-Jan Garage, Jasz 147 Empire