Baru-baru ini, Hyundai-Sime Darby Motors (HDSM) telah melancarkan Hyundai Ioniq 6 untuk pasaran Malaysia. Pemegang tiga anugerah berprestij global; 2023 World Car of the Year, 2023 World Electric Vehicle of the Year and 2023 World Car Design of the Year – Sedan elektrik penuh ini merupakan model Ioniq kedua daripada Hyundai dan juga kereta kedua Hyundai menerima tiga anugerah World Car Awards selepas Ioniq 5 yang memenanginya pada tahun 2022.
Ioniq 6 merupakan model terbaik dalam barisan kenderaan elektrik (EV) keluaran Hyundai, menonjolkan teknologi paling canggih dengan jarak perjalanan lebih jauh, cekap, prestasi yang memukau dan kesemuanya dikuasakan oleh Platform Modular Global Elektrik (E-GMP) yang terkini. Reka bentuk 800-voltan yang jarang mempunyai kemampuan pengecasan pantas sehingga 350kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% hanya dalam 18 minit. Tidak dapat dinafikan lagi, Ioniq 6 merupakan salah satu EV dengan pengecasan terpantas di dunia.
Menurut Encik Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, model yang dilancarkan ini adalah EV ketiga Hyundai di Malaysia. Ia merupakan model paling canggih, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Hyundai sebagai jenama EV terkemuka dan berkomitmen dalam memajukan mobiliti canggih untuk para pelanggan generasi baru.
Sebanyak 2 varian Hyundai Ioniq 6 ditawarkan untuk pasaran Malaysia; Max RWD (enjin tunggal) dan Max AWD (enjin dua motor). Kedua-duanya dikuasakan oleh bateri polimer ion litium (Lithium-Ion Polymer) 77.4kW yang berkapasiti tinggi, memberikan jarak WLTP mengagumkan; 614km (Max RWD) dan 519km (Max AWD). Setiap tiang axle menempatkan motor elektrik, Max AWD mempunyai kuasa sebanyak 239kW dan tork sebanyak 605Nm, membolehkannya mencapai 100 km/j dari keadaan berhenti hanya dalam 5.1 saat.
Selain menetapkan standard baru untuk Hyundai dari segi kecekapan dan teknologi, ia mempunyai reka bentuk unik yang tiada tandingan di atas jalan raya. Profil belakang yang pantas dan mempunyai bentuk gelombang adalah hasil daripada ujian angin dalam terowong sehingga mencapai rintangan yang sangat rendah iaitu 0.21. Bukan hanya paling aerodinamik pernah dihasilkan Hyundai, ia juga kenderaan paling aerodinamik yang ada di pasaran hari ini.
Ciri-ciri retro futuristik ini datang daripada pencahayaan Parametric Pixel – trademark atau tanda khas Ioniq yang ada di pelbagai lokasi termasuk lampu hadapan, lampu belakang, lampu brek ketiga dan spoiler belakang serta stereng. Bahagian interior ‘mindful cocoon’ menampilkan dua skrin 12.3 inci, ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay, pengecasan telefon tanpa wayar, bahan-bahan mesra alam sekitar dan pencahayaan ambien pelbagai warna dan banyak lagi.
Dari segi keselamatan, Ioniq 6 yang mendapat penarafan lima bintang Euro NCAP dilengkapi dengan tujuh beg udara (termasuk beg udara depan-tengah). Selain itu, rangkaian lengkap sistem keselamatan Hyundai SmartSense. Rangkaian ini termasuk alat kawalan jauh Bantuan Pemanduan Parking (Remote Smart Parking Assist) yang membolehkan pemandu mengawal pergerakan kereta ke depan dan ke belakang dengan alat kawalan jauh yang sangat berguna sekiranya berada di tempat yang sempit.
Selain itu, menampilkan beberapa ciri inovatif Ioniq 6 seperti Vehicle-To-Load (V2L) yang mengubah kereta menjadi ‘bank kuasa’ atau powerbank menerusi dua slot elektrik (satu di dalam dan satu lagi di luar). Ioniq 6 ini boleh mengecas dan menguasakan pelbagai peranti dan kelengkapan elektrik seperti komputer riba, televisyen dan juga kelengkapan berkelah serta motosikal elektrik. Ia juga boleh membantu EV lain yang kehabisan kuasa.
Ioniq 6 ini disyorkan pada harga RM289,888 (tidak termasuk insurans) untuk Max RWD dan RM319,888 untuk varian Max AWD rermasuk waranti bateri 8 tahun / 160,000km. Bagi penambahan RM10,000, waranti kereta standard akan dinaikan gred sehingga 5 tahun/100,000km bersama 3 tahun /50,000km servis percuma. Bukan itu sahaja, 30 orang pemilik pertama akan menerima keahlian Shell Recharge Gold selama setahun sebaik sahaja kereta dihantar.
Tempahan telah pun dibuka dan boleh dibuat di mana-mana kedai atau wakil pengedar Hyundai di seluruh negara atau di platform atas talian Cl!cktoBuy (https://www.hyundai.com.my/clicktobuy/). Ditawarkan dalam lima warna; Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte untuk anda pilih.