Padang Dewan Dato Haji Ahmad Badawi telah menjadi tumpuan ribuan pengunjung yang menghadiri Fiesta Melayu Bagan yang diadakan pada 8 Julai lalu. Dianjurkan oleh Pejabat Parlimen Bagan dengan kerjasama Persatuan Sahabat Belia, Bagan Gathering Day 2023 ini bermula dari 10.00 pagi dan berakhir sekitar pukul 11.30 malam.
Pelbagai aktiviti disediakan bagi menarik kehadiran para penganjung seperti Kaunter Kasih Sayang, Gerai Jualan, Cabutan Bertuah, Sukan Rakyat dan banyak lagi. Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bagan iaitu Yang Berhormat Lim Guan Eng.
Acara perhimpunan para pencinta dunia modifikasi kereta dimulakan dengan kemasukan kelab-kelab dan komuniti kereta kawasan Utara. Sambutan dari kelab-kelab ini sangat menggalakkan dengan penyertaan hampir 150 buah kereta yang dikelolakan oleh Persatuan Sahabat Belia dan penganjur bersama, Jiwa Motorsports.
Manakala kereta-kereta Audioshow dan Autoshow mula bergerak memasuki tapak acara sekitar pukul 11.00pagi. Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan, ia tidak mematahkan atau melemahkan semangat para peserta untuk berkumpul dan beramah mesra sesama ahli-ahli kelab kereta yang lain.
Antara kategori yang dipertandingkan ketika berlangsungnya Bagan Gathering Day 2023 ini termasuklah Best Of Gathering, Best Of The Best Show, Best Audio, Best Lighting, Best Design Audio, Best Rim, Best Body Kit, Best Interior, Best Colour, Best Engine Bay, Best Oldskool, Best Stance, Best JDM, Best MDM, Best Airbrush, Best Sticker, Best VIP, Best Clean dan banyak lagi.
Bagan Gathering 2023 ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disampaikan sendiri oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng. Tahniah kepada para pemenang untuk setiap kategori yang telah dipertandingkan.