Selama berkecimpung dalam dunia modifikasi kereta, belum pernah lagi dengar orang kata Corolla sebagai sebuah kereta yang teruk. Kalau tak percaya, tanya sahaja kepada para pemilik kereta ini. Anda tentu dapat mendengar macam-macam pujian tentang salah satu kereta hebat yang pernah dikeluarkan Toyota. Mungkin, anda sendiri akan merekomen kepada kenalan untuk memiliki sebuah Toyota Corolla.
Baiklah. Kali ini, saya ingin bercerita tentang kereta yang dimiliki oleh Karu Din dari One Stop Garage. Lihat keadaan kereta ini sahaja, tentu anda sudah dapat agak ia melibatkan sejumlah wang yang banyak untuk membuatkan ia tampil seperti asal. Mungkin ada yang tidak percaya, malah beranggapan ia hanyalah sebuah kenderaan biasa. Jangan begitu kerana Toyota Corolla ini lebih dari itu!
Jentera ini meninggalkan kilangnya dengan enjin Toyota 4A-FE 1.6 liter yang kini dipasangkan ‘Black Top’ generasi kedua 4A-GE 20 valve dari sebuah Corolla AE111. 4A-GE ini tidaklah dikenali sebagai sebuah enjin yang kuat tetapi sekiranya anda mencari prestasi RPM yang tinggi, ia memang boleh diharapkan.
Mungkin tidak ramai bersetuju, namun pada pendapat peribadi saya, aspek yang paling menonjol dalam binaan Toyota ini ialah keaslian yang terdapat di bahagian dalamnya. Selain stereng Momo TRD dan meter AE101 BZ Touring, ia mempunyai interior GT yang benar-benar rare!
Sementara pembeli kereta generasi sekarang sibuk mencari kesoronokan pada kereta-kereta baharu yang lain, minat segolongan pencinta kereta terhadap Corolla olskool ini semakin hari semakin menebal setiap hari. Sebenarnya, jarang sekali sesebuah kereta berjaya menarik perhatian yang positif khususnya dari semua generasi. Barangkali, inilah yang dikatakan sebagai ganjaran apabila sesebuah kereta dibina dengan cukup baik.
Justeru itu, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila orang yang tidak tahu apa-apa tentang sejarahnya turut menghargai Corolla ini. Pendek kata, kami menghargai segala usaha yang dilakukan dan semoga hayat Toyota ini lebih panjang! – Sufiyan.
Spesifikasi
Enjin :
4AGE 20V, Maxx ECU mini
Driveline:
6speed LSD
Brek/Suspensi:
ARgus (suspensi), BC (pillow ball), VVTR Twin Pot (brek depan)
Rim/Tayar:
Yokohama Advan Fleva, SSR TYPE – C
Interior:
Dashboard AE101 GT, Bz Touring cluster, TRD gear knob, TRD wheel, Razo pedal, Levoc handbrake cover, Recaro SR3 driver seat, full set AE101 GT 92 interior
Eksterior :
Full AE101 GT, Carbon Fibre hood.
Dibina Oleh:
Onestop Garage