Kita dari kecil selalu didendangkan dengan lagu rakyat dan cerita rakyat. Biasanya daripada datuk dan nenek kita. Saya masih ingat lagi sewaktu di tadika menyanyi Lagu Tiga Kupang, Pok Amai-Amai dan Rasa Sayang beramai-ramai dengan kawan-kawan. Kalau bercerita pula, siapa boleh lupa cerita Sang Kancil dan Pak Pandir? Saya tidak tau lah dengan budak-budak Gen Y sekarang. Mungkin mereka tak pernah dengar pun apa yang ditulis ini. Sebab mereka sejak dari kecil lagi dah disogok dengan cerita Power Rangers.
Walaupun rakyat Malaysia kaya dengan lagu dan cerita rakyat, kita masih belum ada kereta rakyat yang sebenar. Mungkin Proton Saga generasi pertama atau Perodua Kancil boleh dikategorikan sebagai kereta rakyat Malaysia. Namun pasarannya tidaklah besar dan memang tak boleh lawan kereta rakyat dari Jerman ini. Kereta rakyat yang dimaksudkan tentulah Volkswagen Beetle. Jika baca sejarah, memang busuk nama Adolf Hitler tapi beliau jugalah yang mengarahkan Dr. Ferdinand Porsche menghasilkan kereta mampu milik untuk semua rakyat Jerman ketika itu.
Di Malaysia, kereta rakyat dari Jerman ini sudah lama diterima sebagai kereta pilihan keluarga Malaysia pada sekitar tahun 1960-an hinggalah ke awal 1980-an. Jadi, kereta Beetle biru muda ini memang mengingatkan saya kepada kenangan zaman kanak-kanak di mana kereta macam ini amat senang dijumpai di jalan raya. Sekarang agak susah nak tengok Beetle ini. Bukan sebab ia dah pupus, tapi sudah dijadikan bahan koleksi berharga oleh peminatnya. Saya tidak hairan kalau ada peminat Beetle berbelanja lebih RM80,000 untuk merestorasi dan mengubah suai Beetle mereka.
Kos restorasi Beetle biru ini mungkin tidak setinggi itu. Namun kerja-kerja restorasinya agak lengkap. Ia masih mengekalkan gaya retro dengan menggunakan aksesori yang sememangnya dihasilkan untuk model Beetle. Sebelum apa-apa pengubahsuaian dibuat, badan kereta perlu direstorasi terlebih dahulu. Alasannya mudah, kereta ini sudah berusia hampir 50 tahun, sebagus mana pun sesebuah kereta, masalah karat memang tidak boleh dielakkan. Apatah lagi kalau dipandu di Malaysia yang cuacanya memang panas dan lembab sepanjang tahun.
Segala karat pada badannya dibuang sebelum disembur dengan lapisan cat biru muda yang menyegarkan kembali rupa Beetle klasik ini. Beberapa aksesori krom seperti garnish lampu dan strip di sisi badan kereta ditambah. Bampar depan dan belakang asal Beetle dibaik pulih, dicelup semula dengan lapisan krom baru yang silau mata memandang di bawah terik matahari.
Satu aksesori unik yang dipasang padanya ialah cermin belakang. Kalau anda perasan, cermin ini boleh ditolak keluar untuk bagi angin masuk ke penumpang belakang. Inilah aksesori original Beetle yang sekarang hanya boleh dibeli di kedai aksesori Beetle di luar negara (kebanyakannya dari Amerika Syarikat atau Britain). Nak beli dari Jerman boleh juga, tapi tahu ke nak tulis e-mel bahasa Jerman?
Penambah seri sebenar Beetle ini sudah tentulah rimnya. Rim Beetle ini menggunakan rim Empi Sprintstars berdiameter 15 inci. Empi ialah nama yang cukup terkenal sebagai pembuat aksesori VW Beetle klasik. Saya fikir, tidak ada rim lain yang menjadi pilihan pemilik Beetle di serata dunia selain rim buatan Empi. Tayar BF Goodrich bersaiz 195/60 dipilih untuk digandingkan dengan rim yang masih nampak retro tetapi dengan ciri-ciri keselamatan tayar moden. Dalam kata lain, dah tak guna tiub. Beetle ini kemudian direndahkan menggunakan set penyerap hentak Bilstein.
Bahagian dalaman Beetle semuanya direstorasi mengikut spesifikasi asal dengan sedikit modifikasi. Apa yang paling ketara ialah pemain CD pada bahagian bawah papan pemuka. Apa yang saya respek, radio AM asal Beetle masih dikekalkan, mungkin untuk kembalikan nostalgia masa silam. Stereng asal masih dikekalkan. Tetapi disolek sedikit dengan menggantikan butang hon asal kepada butang hon berlogo Wolfsburg – bandar kelahiran Beetle di Jerman.
Tuil gear Gene Berg digunakan bagi mengganti tuil gear asal. Tetapi tombol gear tetap menggunakan tombol yang asal. Tempat duduk asal hanya dibalut dengan vinyl baru dan mengekalkan rupa aslinya. Anda mesti tertanya-tanya, kenapa saya tak cerita pasal enjin? Sebab enjinnya standard tak buat apa-apa, basuh pun tak. Cuma ekzos ada buat sikit, guna paip dan peredam bunyi custom yang menyerlahkan bunyi enjin boxer dengan sistem penyejukan udara. Anda ingat Subaru sahaja yang guna enjin boxer? Beetle dah guna enjin boxer sejak Hitler masih hidup lagi tau!
Spesifikasi
Pembuat / Model: Volkswagen Beetle
Enjin: 1,600cc boxer standard
Sistem ekzos: Paip dan peredam bunyi custom
Penyerap hentak: Bilstein
Rim / Tayar: Empi Sprintstars 15” / BF Goodrich 195/60
Dalaman: Restorasi penuh, butang horn Wolfsburg, tuil gear Gene Berg
Luaran: Restorasi penuh, aksesori krom VW, cermin belakang pop-up, pelekat Empi custom
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ