Main kereta lama menjadi hobi sesetengah orang atau banyak orang pada zaman moden ini. Pada hari ini, saya ada seorang kawan yang sibuk benar membelek laman web jual beli barang, e-bay untuk mencari barang untuk model Alfa Romeo Alfasud. Susahnya tak payah ceritalah. Main kereta lama ibarat mengumpul tembikar klasik dari China. Ada duit belum tentu dapat beli barang yang dihajati.
Mercedes siri 123 ialah siri Mercedes paling berjaya di dunia. Sebanyak 2.7 juta unit terjual di pasaran global sejak diperkenalkan pada tahun 1976 hingga 1985. Kereta itu ibarat kereta kebal dan semua enjin yang diperkenalkan pada tahun pengeluarannya masih ada alat gantinya hingga ke hari ini.
Enjin paling popular yang pernah dipasang ialah M115 dan M102 empat silinder petrol. Selain itu, jentera tersebut juga hadir dengan enjin 2.3, 2.4 (Diesel), 2.5, 2.8 dan 3.0 liter. Bercakap tentang enjin, tidak ramai pemilik Mercedes lama memilih untuk menggunakan enjin Jepun. Sebabnya, model-model Mercedes klasik memang tidak banyak kerenah. Kalau rosak sekalipun, alat gantinya dijual merata-rata. Baik baru mahupun yang terpakai.
Pemilik Mercedes merah jambu ini juga mempunyai pendapat yang sama apabila dia mula membaik pulih model 123. Apa yang dibuat adalah menggantikan keseluruhan komponen enjin dengan yang baru semasa proses overhauled penuh dilakukan. Lagipun, kereta ini hadir dengan transmisi manual yang memang langsung tiada masalah. Selepas overhauled, kereta ini sudah tentu noleh bergerak untuk lima tahun lagi dengan sistem pendingin hawa yang sejuk dan kos penyelenggaraan murah.
Setelah siap mengubahsuai bahagian enjin, pemiliknya mengalihkan perhatian kepada ruang dalaman pula. Jika masuk ke dalam kereta, pasti ramai yang terkejut dan mengakui bahawa hasil kerjanya memang menakjubkan. Saya memang puji orang yang mampu memulihkan kereta lama hingga sebegini rupa. Sebabnya, untuk menjadikan kereta lama macam sebuah model asli bukan senang.
Semua tempat duduk kereta direstorasi. Panel pintu dikemaskan semula dan papan pemuka dipulihkan. Boleh kata 100 peratus barang dalaman kokpit kereta ini adalah yang asal. Tema klasiknya tidak berubah dengan stereng empat jejari kayu, panel bawah, malah semua suisnya masih berada dalam keadaan sempurna. Tidak sepert kereta Mercedes/BMW moden yang anda biasa lihat, bahagian plastik kereta-kereta lama nampaknya lebih tahan cuaca dan mampu bertahan lama.
Bahagian luarnya sangat kemas tanpa sebarang garis gelombang pada badan selepas dicat dengan warna merah jambu. Satu perkara yang saya perasan pada kereta moden ialah lampunya. Jika anda lihat model baru Mercedes seperti W203 atau W211, semua lampunya cepat kusam. Kereta tidak sampai sepuluh tahun, tetapi lampu hadapan sudah kabur semacam. Nampak Mercedes ini? Walaupun tidak berkilat, lampunya tidak kabur langsung. Saya rasa jurutera zaman itu langsung tidak berkira apabila memilih plastik/kaca yang berkualiti supaya kereta boleh dipandu sampai bila-bila.
Pemilik Mercedes ini memilih rim bersaiz 18 inci jenama JnS buatan Taiwan yang dibalut dengan tayar Michelin 225/40/18. Rim dengan kesan krom cukup kontras dengan warna merah jambu. Apabila sudah lengkap, tibalah masanya untuk jentera ini direndahkan. Menggunakan teknologi custom, kereta direndahkan menerusi padanan suspensi yang dibuat khas. Brek-brek asal model 123 masih dapat memberi khidmat yang cemerlang dan tidak pernah menyebabkannya gagal berhenti.
Memulihkan kereta klasik memerlukan semangat. Duit adalah perkara kedua. Sebab kalau ada duit pun tidak semestinya semua boleh dibeli. Kasih sayang yang dicurahkan ke atas mesin-mesin lama begini lebih bernilai daripada wang ringgit yang telah dibelanjakan.
Sumber : Mekanika
Website : https://www.mekanika.com.my/
Facebook : https://www.facebook.com/MekanikaMalaysia/
Instagram : https://www.instagram.com/mekanika.malaysia/?hl=en
Youtube : https://www.youtube.com/channel/UCW_a5QtfMwZ5gNBhgXBdscQ