Hakikatnya, terlalu banyak model Lancer Evolution yang pernah disiarkan sebelum ini. Hampir setiap bulan, sama ada melibatkan varian terdahulu mahupun model terkini. Belum lagi kira yang acah-acah ke arah itu. Memang takkan habis punya, memandangkan siri Evolution merupakan model berprestasi paling popular, khususnya kalangan kaki bikin.
Tapi yang ni lain macam sket. Jika kebanyakan pemilik akan mengenakan salinan JDM atau mendapatkan komponen dari tuner ternama, Lancer Evolution milik Ken dari KYK Auto Leather Enterprise ini nampaknya tidak begitu. Demi kepuasan diri, ia tidak mengikut tema kebanyakan sebaliknya direka mengikut acuan sendiri.
Misalnya bahagian luaran. Menggunakan set bumper Evo IX sebagai asas, ia kemudian dipadankan dengan kit wide body rekaan khas, mirip komponen keluaran Clinched Flares. Bahagian lip depan dan skirt sisi juga dibina secara kustom, sebelum ditambah hood, bonet dan spoiler GT gentian karbon dari Voltex. Menjadikan ia tampak lebih garang adalah, tambahan diffuser keliling berwarna hitam yang dibentuk menggunakan kepingan aluminum sepenuhnya.
Selari dengan perubahan ini, bahagian roda menempatkan rim Advan Racing RS yang dibalut tayar lebar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 255/35ZR-18. Kedudukan kereta kemudian ditetapkan pada set suspensi Aragosta, manakala kuasa hentian dibantu kit brek Brembo yang lebih besar.
Selain luaran, bahagian enjin juga menerima peningkatan yang amat mengkagumkan. Dikuasakan oleh enjin 4G63T, kapasiti enjin ini telah ditingkatkan menerusi penggunaan piston Wiseco HD 86mm, conrod Carrillo Pro H dan galas enjin ACL Race. Ruang kepala silinder pula menerima rawatan port & polish, termasuk penempatan camshaft Kelford Cam 8 TX280 dan set valve train dari GSC. Sebelum dicantumkan, ia perlu dilapik gasket keluli Cometic bagi membetulkan nisbah mampatan secara keseluruhan.
Tumpuan seterusnya melibatkan sistem pendesak, yang kini dikuasakan oleh unit turbo Garrett GT35. Ia digantung pada manifold turbo Full Race yang turut memegang wastegate dari Tial. Proses sejukan boost dibantu intercooler HKS yang dihubungkan kepada throttle body 70mm pada manifold kemasukan HKS Kansai. Sementara lebihan boost yang tidak digunakan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas Turbosmart Race Port.
Peningkatan enjin ini perlu disertakan dengan suapan bahan api yang mencukupi. Menggunakan pam petrol AEM, ia akan dihantar ke tangki surge Works Engineering sebelum dibawa ke rel bahan api Sard. Suntikan ke kebuk pembakaran kemudian diserahkan kepada set injektor ID 2000. Manakala proses balikan dan kawalan tekanan diselia unit regulator dari Sard.
Terpampang di ruang bonet belakang adalah kit water-methanol dari AEM, yang menjadi resepi penting kepada kereta ini. ia bukan saja membantu mengurangkan suhu enjin, tapi turut mengelak situasi letusan pra matang ketika boost tinggi. Bagi melengkapkan proses pembakaran, unit ECU kini menggunakan perisian jenis Link G4 Plug-In.
Sebagai pemilik kedai kusyen terkenal, persembahan ruang dalaman menjadi aset terpenting untuk menunjukkan kemampuan Ken menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Hampir keseluruhan komponen pada ruang ini telah dibalut semula, sama ada menggunakan material kulit atau alcantara. Malah kaedah susunan dan jahitannya juga amat membantu, membentuk pandangan lebih menarik. Selain itu, diselitkan juga beberapa komponen tambahan seperti sepasang tempat duduk Sparco REV, stereng Momo, meter ratio AEM, serta deretan meter Defi di ruang tengah.
Jarang boleh jumpa sebuah Evo yang berani menyimpang dari tema kebanyakan. Tapi kalau betul caranya, ia masih mampu menarik perhatian khususnya di kalangan mereka yang berminat…