Komuniti Concept MDM JDM telah menganjurkan sesi pertemuan, khusus untuk pemilik Proton Wira pada 2 November yang lalu. Seperti sebelumnya, mereka telah mendapat kerjasama Rimba Hotel dan pasaraya Giant Gong Badak, untuk menggunakan tempat letak kereta di kawasan berkenaan sebagai lokasi pertemuan.
Acara ini menerima sambutan luar jangkaan apabila disertai hampir 1200 buah kereta daripada beberapa buah kelab dan komuniti Proton Wira sekitar Pantai Timur. Ia hampir tiga kali ganda berbanding sebelumnya, sekaligus melewati kapasiti kawasan berkenaan. Antara yang mengambil bahagian termasuklah Concept MDM JDM, PWira Club (PWC), Wira Imperial Brotherhood Club (WIBC), MyWira Underground Car Club (MUCC), Club Wira Malaysia (CWM), Wira Motorsport Club (WMC), Wira Aeroback Club Malaysia (WACM), MDMHC Ganu Region, MDMHC Kelantan Region, WSC Ganu Region, Silver Grey Community (SGC), SW Community (SWC), Respect MDM JDM, Wira Evolution Group Malaysia (WEVOG), Wira Malaysia Club Motorsport (WMCM), Wira Malaysia (WM), Geng Wira Kuala Nerus dan Galaxy Wira Family Motorsport (GWFM). Hadir sama beberapa buah kelab jemputan seperti Three Diamond Members (TDM), Proton Saga Iswara Fiore Terengganu (PROSIFT), Dolphin Terengganu dan Civic EFCM Terengganu.
Kesempatan menyertai acara ini memberi peluang kepada mereka menambah kenalan, mengeratkan silaturahim, serta meninjau setiap jentera yang mengambil bahagian. Ia turut menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama antara kelab untuk menjalankan aktiviti bersama. Kemeriahan acara juga ditambah dengan aktiviti sampingan yang lain seperti pertandingan autoshow, jualan produk dan aksesori, cabutan bertuah, serta penyampaian sijil dan hadiah kepada pemenang.
Walaupun singkat, usaha pengunjur menggerakkan acara ini sememangnya harus dipuji. Sekalung penghargaan diucapkan kepada para penaja, serta semua yang telah mengambil bahagian. Semoga kejayaan acara ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Foto: Shah Bahulu @ Adam Photography