Kali terakhir D1 Grand Prix diadakan di Malaysia adalah pada tahun 2006. Kini, pada tahun 2023, Malaysia kembali menjadi tuan rumah setelah 17 tahun lamanya menyepi. Berlangsung selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 Mac lalu, pusingan keempat dan kelima D1GP Southeast Series diadakan seiringan dengan pusingan pembukaan dan pusingan 2 National Drift Series yang dibawakan oleh Exquisite Motorsports Club, Retro Havoc Official bersama APDCrew Circuit.
Musim ini, kita mengikuti rapat perjalanan OBG Adventures (Old But Gold) yang dianggotai Jason Lim bersama krunya iaitu Jason Tan, Sherwin Chew, Minvern K, The Tradveller dan Han Bin yang mengambil bahagian untuk D1GP dan juga NDS. Jason Lim yang juga dikenali para peminat sebagai Uncle Jet berjaya mendominasi APDCrew Circuit ketika pusingan kelayakan dengan skor 98.33 menggunakan 2JZ dikuasakan S15.
Beliau berjaya tersenarai sebagai ‘Top Qualifier’ dan menduduki tempat ketiga untuk D1GP SEA bersama Kawabata dari Jepun di tempat kedua diikuti Emmanuelle Amandio di tempat pertama. Sebagai ‘Top Qualifier’ dan Juara untuk NDS pusingan 1, Uncle Jet pernah berkata bahawa kekalahan merupakan sebahagian daripada proses dan kemenangan adalah sebahagian daripada pencapaian. Jangan pernah mengalah!
Manakala rakan sepasukannya, Sherwin Chew yang menggunakan 2JZ kevlar penuh dikuasakan S15 berjaya tersenarai dalam Top 3 semasa pusingan kelayakan untuk D1GP SEA; Top 3 Qualifier dan tempat ketiga untuk National Drift Series. Diikuti Tad Traveller di kedudukan kelapan ketika pusingan kelayakan untuk D1GP SEA dan pusingan 1 NDS.
Seorang lagi peserta iaitu Eric Wong berjaya menduduki tempat ketujuh pusingan kelayakan D1GP SEA dan keempat untuk pusingan 1 NDS. Dua orang lagi kru OBG Adventurers iaitu Jason Kok dan Minvern K telah mencuba yang terbaik. Minvern telah dianugerahkan sebagai pelumba drifter pertama Malaysia yang menyertai D1GP SEA ini. Tahniah!
Perjalanan OBG Adventurers diteruskan pada keesokan harinya. Hari kedua bermula dengan cuaca panas dan diikuti hujan lebat ketika pusingan kelayakan. Uncle Jet berjaya tersenarai dalam kedudukan 5 tertinggi untuk Layout B APDCrew Circuit. Namun, beliau terpaksa berhenti ketika berada dalam Top 8 akibat masalah kereta tetapi ia tidak menghalang beliau untuk menguasai pusingan kedua NDS di tempat ketiga sekali gus menduduki tempat teratas dalam NDS 2023.
Kedua-dua acara ini berakhir dengan persembahan bunga api, meraikan kejayaan penganjuran D1GP dan juga NDS 2023. Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para penganjur yang dibarisi Exquisite Motorsports Club, NDS GP, APDCrew Circuit, Retro Havoc Official dan barisan penaja.
Sumber : Sufiyan (77thStreets)