MITSUBISHI MOTORS MALAYSIA (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia mencatatkan sejarah dengan jualan sebanyak 4,156 unit kenderaan terjual untuk tahun kewangan suku keempat 2020 (January – Mac 2021). Kira-kira peningkatan sebanyak 135% berbanding tahun kewangan suku keempat tahun 2019 (January- Mac 2020). Pada masa yang sama, Mitsubishi juga muncul sebagai jenama ketiga bukan nasional paling laris untuk 3 bulan berturut-turut.
Selain itu, syarikat tersebut juga mengumumkan peningkatan jualan sebanyak 51% dengan 11,554 unit kenderaan terjual untuk tahun kewangan 2020 (April 2020 – March 2021), berbanding tempoh masa yang sama dalam tahun kewangan 2019 (April 2019- March 2020). Tahun kewangan MMM untuk 2020 berakhir pada 31 Mac 2021.
Pencapaian jualan ini disumbangkan oleh penerimaan terhadap model Mitsubishi XPander baharu yang menerima lebih dari 9,300 tempahan sejak dilancarkan pada November tahun lalu. Setakat ini, sebanyak 2,742 unit telah diserahkan kepada pemiliknya. Bukan itu sahaja, Mitsubishi Triton juga turut menerima sambutan yang baik dengan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 32% bersamaan 7,568 unit dijual pada tahun kewangan 2020 berbanding tahun kewangan 2019.