Ura-ura yang mengatakan model lagenda Civic Type-R akan dihentikan, nampaknya meleset terok apabila Honda mengambil keputusan, memperkenalkan model generasi ke-5 baru-baru ini. Walaupun falsafah rekaannya dah jauh menyimpang, kuasa yang ditawarkan cukup mengkagumkan hingga mampu mencatat rekod FWD terpantas di litar Nürburgring.
Macam henpon, pengenalan model baru bukan bermakna yang lama tak bagus. Masih ramai yang percayakan kehebatan model terdahulu seperti Civic FD2R, walaupun usianya kini sudah mencecah 10 tahun. Populariti model ini turut menarik minat barisan pengeluar komponen ternama menghasilkan sesuatu untuknya. Itu yang jadi seronok. Kalau baru keluar showroom dah sibuk nak bikin, itu tokey beras namanya.
Kerana ingin menjadi Type R, Syed telah merombak semula kereta ini untuk kelihatan ranum di mata masyarakat. Asasnya menggunakan kit badan lengkap Civic Mugen RR, sebelum diserikan dengan komponen jenis karbon fiber di sana-sini. Sampai satu tahap, timbul pulak idea nak bikin kaben semua. Maka mana-mana komponen yang boleh tanggal telah dihantar untuk proses salutan karbon, mirip kepada jentera Mugen RR Advanced Concept.
Kehensemannya ditambah, dengan pemasangan spoiler GT karbon fiber dari Mugen, termasuk unit sunroof di bahagian bumbung. Bagi kurangkan masalah tompok-tompok, bahagian yang takleh nak tanggal telah dibalut dengan stiker berwarna hitam. Tak padan nak antor cat katanya…
Untuk menjadi Jenis R sebenar, kedudukan enjin asal telah disandarkan pada tepi tiang workshop dan diganti dengan enjin K20A Type R. Tak cukup dengan tu, Syed turut menggantikan blok asal dengan blok K24A dari Odyssey Absolute. Bagi memastikan ia boleh digasak, keseluruhan piston telah ditukar kepada set piston berprestasi tinggi dari Wiseco.
Bekalan udara dibawa masuk dari kit induksi, yang mengandungi sebuah penapis udara dan paip ram karbon fiber dalam satu pakej. Ia akan bercampur dengan zarah-zarah petrol yang dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke set injektor 310cc. Bagi memastikan kadar letusan yang sempurna, proses ini perlu ditala semula menggunakan perisian dari Hondata.
Kotak gear manual 6 kelajuan Civic FD2R yang digunakan, dipertingkatkan kecekapannya dengan set klac dari Ogura Racing. Mengakhiri proses naik taraf ini adalah binaan sistem ekzos baru menggunakan paip kustom 2.7-inci dengan muffler berkembar Akrapovic. Kaben lagi!
Jengok ke ruang roda, nampaknya ada dua set rim yang Syed gunakan. Kedai kasut sukan yang dia pegi kehabisan stok agaknya. Depan pakai Enkei RPF1 kaler silver, manakala belakang dihiasi rim jenis WedsSport TC105N. Di sebalik rim-rim bersaiz 17-inci ini, tersemat set brek gigit Brembo untuk kuasa hentian. Memastikan jentera ini mampu dikawal dengan sempurna, sistem gantungan telah diperkemaskan semula mengunakan set suspensi rekaan FTuned Suspension.
Obsesi Syed terhadap kaben tidak terhenti setakat luar jer, malah ruang dalaman juga mengenakan konsep yang sama. Selain salinan komponen Civic FD2R, mana-mana panel boleh cabut telah digantikan dengan kit karbon fiber. Kemudian ada panel meter Mugen RR, sepasang tempat duduk Bride Illest dengan harness Takata, serta balutan fabrik Bride untuk tempat duduk belakang. Tersembul di tengah papan pemuka adalah 3 buah meter Defi untuk tujuan pemantauan, diikuti tambahan unit paparan gear Ultra dan Defi ZD.
Secara halus, komponen karbon fiber kini tidak hanya digunakan untuk mengurangkan berat, tapi juga untuk tujuan kosmetik. Atas usaha Syed yang tak penat-penat, kereta ini pernah memenangi kategori Best Carbon Fiber di acara CFDC Mega Gathering yang telah berlangsung baru-baru ini. Tengok pun tau kenapa…
SPESIFIKASI
- Pemilik – Syed Khalis 69
- Pengeluar – Honda
- Model – Civic FD2
- Tahun – 2011
- Enjin asal – K20Z
- Modifikasi Enjin – K20A Type R, blok K24A Odyssey Absolute, piston Wiseco, kit induksi karbon fiber, pam petrol Walbro, injektor 310cc, ECU Hondata
- Transmisi – Kotak gear manual Civic FD2R, klac Ogura Racing
- Ekzos – Paip kustom 2.7-inci, muffler berkembar Akrapovic
- Luaran – Kit badan Civc Mugen RR, salutan karbon fiber, spoiler GT Mugen karbon fiber, sunroof
- Suspensi – FTuned Suspension
- Brek – Brembo
- Rim & Tayar – Enkei RPF1 (depan), WedsSport TC105N (belakang) & Bridgestone Potenza RE003 235/45R-17
- Dalaman – Salinan komponen FD2R, kit panel karbon fiber, panel meter Mugen RR, tempat duduk Bride Illest, harness Takata, balutan fabrik Bride tempat duduk belakang, meter Defi, paparan gear Ultra, Defi ZD
- Bengkel – MizTech Autowork, Tuned By Noh, DT Tinted Acc