Ini Myvi, sejenis kereta yang dianggap keras dan boleh bertukar menjadi supervillain yang menakutkan. Macam-macam kes pernah dilapor, menyebabkan reputasinya sebagai sebuah kereta yang bagus sedikit tercalar. Kalau van parking tepi jalan pun dia boleh panjat, nak kata hapa lagi?
Formula rekaannya yang tepat, mungkin sebab utama mengapa ia begitu popular di negara ini. Dari adik-adik lepasan sekolah sampailah ke golongan pakcik-makcik, semuanya akan memilih Myvi sebagai kereta harian. Bila dah cecah 1 juta atas jalan, kebarangkalian untuk dipandu oleh mereka yang kurang berpengalaman dah tentu tinggi melangit. Maka terjadilah peristiwa-peristiwa aneh, seperti yang bebas tular di media sosial.
Tapi tu orang lain. Bagi kaki JDM tegar, mereka lebih bijak menghargai kereta yang dimiliki berbanding perut sendiri. Tak pernah tak kilat, nak cari kesan calar pun payah. Lagi-lagi jika dimiliki oleh seorang pengusaha bengkel yang berjaya seperti Angah. Untung jadi Myvi…
Bagi menjeponkan kereta ini, Angah telah menggunakan kit badan Passo Racy yang femes sebagai asas. Memula dulu okey lagi. Tapi bila dah ramai sangat pakai, ia perlukan aura tambahan yang boleh menarik perhatian ramai. Paling jelas penggunaan komponen kemasan karbon kelvar, khasnya di bahagian hood, fender, lip, boot dan pintu belakang. Tak cukup dengan tu, beberapa komponen lain turut diselit sama. Ada cermin sisi Ganador, eyelid Sirion, skup Boon X4, spoiler hood Daihatsu Max, spoiler GT Cusco, step bumper Passo, tow hook D-Sport, serta penutup minyak Swift Sport yang diubahsuai. Meriah sungguh!
Berkait dengan penampilan adalah set roda yang digunakan. Angah memilih rim RacingHart CP-035 dan dipadankan bersama tayar Yokohama Advan Neova AD08R bersaiz 195/55R-15. Di sebalik rim depan, tersemat kit brek Grippen untuk membantu sektor hentian. Manakala sistem gantungan menggunakan set suspensi boleh laras dari Tein.
Takkan lengkap sesebuah modifikasi itu jika bahagian enjinnya tidak diusik. Sebab banyak sangat hakat yang ada di kedainya, Angah gantikan nadi asal dengan enjin siri K3-VET dari YRV. Sebelum boleh tersengih kerang, ia telah dinaik taraf pada kadar yang sesuai, termasuk perubahan kosmetik yang agak menarik.
Sistem pendesak menggunakan turbo jenis TD04L, yang disangkut pada manifold turbo kustom. Juga disertakan sebuah wastegate Tial 38mm, sebelum disejukkan oleh unit intercooler kustom yang dialih ke ruang bumper depan. Boost yang terhasil kemudiannya dibawa ke manifold kemasukan kustom, manakala tekanan berlebihan akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Tidak kurang pentingnya adalah keperluan bahan api yang dihantar oleh pam petrol Walbro, terus ke rel bahan api kustom. Bagi melaras kembali peningkatan yang telah dibuat, ia kini ditala sepenuhnya menggunakan sistem pengurusan Link G4+ Atom.
Kotak gear tiptronik asal macam tak ngam dengan jiwa kelajuan Angah. Jadi ia telah digantikan dengan kotak gear manual Passo TRD Sport M, bersama set klac dari D-Sport. Sistem ekzos pulak dibina secara kustom, sebelum diakhiri dengan sebuah muffler kontot juga dari D-Sport.
Seperti luar, bahagian dalaman juga menerima salinan komponen dari model yang seangkatan dengannya. Ada dashboard, kulit bumbung dan tempat duduk belakang Sirion, panel pintu Boon X4, serta side step dan karpet bonet Passo. Ia kemudian dihujani dengan komponen aftermarket yang pelbagai seperti stereng Sparco, tempat duduk Recaro SR6 dan Tomcat Kevlar, panel CF Modellista, tombol gear TRD, karpet Recaro, cermin tengah Tiffana, juga bar dari D-Sport.
Sesuai dengan peranannya sebagai kereta sokan, aspek pemantauan juga perlu diberi perhatian. Untuk itu, diselitkan beberapa meter tambahan dari Defi, meter digital Defi Advance ZD dan VSD, serta unit RSM Imamura Apexi. Termasuk dalam pakej ini adalah sistem audio lengkap jenama Carrozzeria, yang membolehkan Angah mendengar lagu dangdut Herman Tino!!!
SPESIFIKASI
- Pemilik – Hafizi Hashim (Angah)
- Pengeluar – Perodua
- Model – Myvi 1.3L
- Tahun – 2007
- Enjin asal – K3-VE
- Modifikasi Enjin – K3-VET Daihatsu YRV, turbo TD04L, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm, intercooler & paip sambungan kustom, manifold kemasukan kustom, injap pelepas HKS SSQV, pam petrol Walbro, rel bahan api kustom, regulator AVS, Link G4+ Atom
- Transmisi – Kotak gear manual Passo TRD Sport M, set klac D-Sport
- Ekzos – Paip kustom 2-inci, muffler D-Sport
- Luaran – Kit badan Passo Racy, hood, fender, lip, boot & pintu belakang karbon kelvar, cermin sisi Ganador, eyelid Sirion, skup Boon X4, spoiler hood Daihatsu Max, spoiler GT Cusco, step bumper Passo, tow hook D-Sport, penutup minyak Swift Sport
- Suspensi – Tein
- Brek – Grippen (depan)
- Rim & Tayar – RacingHart CP-035 15-inci & Yokohama Advan Neova AD08R 195/55R-15
- Dalaman – Dashboard, kulit bumbung & tempat duduk belakang Sirion, panel pintu Boon X4, side step & karpet bonet Passo, stereng Sparco, tempat duduk Recaro SR6 & Tomcat Kevlar, panel CF Modellista, tombol gear TRD, karpet Recaro, cermin tengah Tiffana, bar D-Sport, meter Defi, Defi Advance ZD, Defi VSD, RSM Imamura Apexi, sistem audio Carrozzeria
- Bengkel – Tora Tora Motorsport, Shah Alam