Walaupun Malaysia dilanda bermacam-macam masalah sepanjang minggu lalu, pelbagai program dan aktiviti terutamanya yang melibatkan dunia permotoran tetap dijalankan seperti yang sudah dijadualkan. Antara program yang berlangsung dengan cukup meriah dan mendapat sambutan cukup hangat dari para pencinta dunia permotoran adalah The Showcase yang berlangsung selama 3 hari bermula dari 28 Februari sehingga 1 Mac.
Dianjurkan oleh Galeri Kereta dan Super Rocket, acara yang diadakan buat julung kalinya ini telah dikuasakan oleh Motonation. Bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES, acara ini diadakan sempena Asia GT Festival dan dipadatkan pelbagai aktiviti menarik. Para pengunjung hanya perlu membayar RM10.00 sebagai bayaran masuk dan berpeluang menyaksikan himpunan kereta-kereta modifikasi terbesar di Malaysia.
Pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik berkaitan dunia modifikasi kereta. Antara yang mendapat sambutan dari para pengunjung sepanjang 3 hari acara berlangsung adalah seperti pertunjukan modifikasi kereta, pertunjukan Widebody Culture, Rolling Speed Night, pra-perlumbaan Asia GT Festival, pertandingan e-gaming, Jom Battle BBoys dan BGirls, pertandingan tarian gaya bebas, bazar selebriti, cabutan bertuah, gerai-gerai jualan, gerai-gerai pameran dan banyak lagi.
Pada acara yang sama, pihak Pulzar Malaysia dan Estrada Motorsport telah melancarkan pasukan Estrada Pulzar untuk musim 2020 yang bakal berentap di siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) tidak lama lagi. Para pengunjung yang sempat menyaksikan majlis pelancaran ini turut berpeluang melihat pelumba-pelumba pasukan Estrada Pulzar dan juga kereta yang akan digunakan nanti.
Bagi merancakkan lagi penganjuran The Showcase ini, pasukan drift Westlake telah turun padang dan melakukan demo drift taxi dengan aksi-aksi yang cukup mengujakan dan mendebarkan. Bukan itu sahaja, acara ini telah mendapat sokongan padu dari kunjungan Retro Havoc dan Art Of Speed Malaysia yang sudi meluangkan masa berkunjung serta berkongsi informasi dengan pihak penganjur.
Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan penganjuran The Showcase yang diadakan buat pertama kali ini berjalan lancar terutamanya kepada pihak penganjur iaitu Galeri Kereta dan Super Rocket. Tahniah juga diucapkan kepada semua peserta, pempamer, barisan penaja dan seterusnya para pengunjung. Semoga acara ini akan kembali diadakan dengan lebih meriah.